BARU-BARU ini Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri gagal diluluskan selepas tidak mendapat sokongan dua pertiga dari kalangan ahli Parlimen.
RUU tersebut hanya mendapat sokongan dari 146 ahli Parlimen sementara 32 ahli Parlimen tidak hadir dan 44 orang lagi berkecuali.
Kegagalan kelulusan RUU ini tidak seharusnya menjadi titik penamat usaha kita untuk mereformasikan landskap politik dan pentadbiran negara kita.
Langkah sama yang lain boleh diberi pertimbangan untuk diambil bagi memastikan lanskap politik dan pentadbiran negara kita menjadi lebih bersih dan cekap.
Ini dapat dilakukan dengan memperkenalkan RUU hadkan tempoh khidmat setiap wakil rakyat sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri untuk tempoh dua penggal atau maksimum 10 tahun juga.
Dengan mengehadkan tempoh jawatan yang dipegang oleh semua wakil rakyat, kita dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada muka-muka baharu yang memiliki idea-idea baharu dan lebih bernas daripada muka-muka lama untuk memberi khidmat kepada rakyat dan membangunkan negara kita.
Pada masa sama, kita dapat elakkan mana-mana individu tertentu menjadi wakil rakyat untuk satu tempoh yang sangat lama hingga boleh terdedah dengan risiko salah guna kuasa, rasuah dan kesalahan-kesalahan yang lain.
Ia juga bagi mengelakkan sebarang tanggapan negatif datang dari orang ramai terhadap mana-mana individu yang terlalu lama menjadi wakil rakyat.
Sampai bila rakyat perlu melihat muka-muka dan idea-idea yang sama setiap kali Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mula bersidang? Negara kita tidak boleh hanya bergantung pada individu-individu tertentu sahaja untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin dalam negara ini.
Ramai lagi rakyat Malaysia yang layak untuk masuk bertanding dalam proses pilihan raya serta menjadi wakil rakyat. Ruang dan peluang yang mencukupi perlu diberikan kepada semua rakyat Malaysia untuk bekerja dan berkhidmat sebagai wakil rakyat. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










