Kerusi kosong, nasib rakyat di tiga DUN Perlis terbiar?

Kerusi kosong, nasib rakyat di tiga DUN Perlis terbiar?

FATHUL BARI MAT JAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tindakan mengosongkan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis bakal menyebabkan rakyat di kawasan berkenaan terbiar tanpa wakil rakyat untuk tempoh sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Perkara itu ditimbulkan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, yang mempersoalkan kenapa perlu dibiarkan tiga kerusi tersebut kosong dan keputusan itu tidak ditarik semula oleh Pas Pusat.

Katanya, keputusan mengosongkan kerusi berkenaan amat merugikan rakyat dan tidak selari dengan semangat demokrasi serta amanah yang diberikan oleh pengundi.

“Hampir dua tahun, rakyat di tiga kawasan atau DUN terlibat bakal berdepan hidup tanpa wakil rakyat. Ketiadaan wakil rakyat bermakna tiada suara rasmi untuk membawa isu mereka, tiada saluran berkesan bagi menyampaikan aduan dan tiada tempat untuk rakyat bergantung harap bagi mendapatkan pembelaan.

“Ini bukan isu kepentingan parti atau percaturan politik semata-mata sebaliknya melibatkan hak asas rakyat yang tidak wajar diketepikan. Mereka (wakil rakyat) sebelum ini dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat sebagai wakil, sebagai suara dan sebagai penghubung antara rakyat dengan institusi negeri.

“Sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak dapat dilaksanakan, maka pendekatan paling adil dan bertanggungjawab ialah membenarkan mereka meneruskan tugas sehingga tamat penggal sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan menarik balik pemakluman berhubung keperluan mengadakan PRK di tiga kerusi DUN Perlis.

Bagaimanapun, tiga kerusi berkenaan iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji tetap dikosongkan selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut terhenti keahlian Pas.

Fathul Bari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, keputusan Pas untuk tidak menganggotai barisan Exco kerajaan negeri tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan peranan wakil rakyat di DUN.

Katanya, tugas membawa suara rakyat tetap boleh dan wajar dilaksanakan melalui saluran perundangan yang tersedia.

“Walaupun saya bukan ahli Pas dan tidak berminat mencampuri isu dalaman Pas, tetapi saya tetap terpanggil untuk menyuarakan pandangan atas dasar tanggungjawab moral dan keprihatinan terhadap nasib rakyat. Ia kerana keputusan yang dibuat jelas berpotensi memberi kesan negatif kepada mereka.

“Sehubungan itu, saya dengan penuh tanggungjawab menyeru agar Pas Pusat menilai semula keputusan ini secara matang dan berhemah dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan tertinggi. Politik seharusnya menjadi medan khidmat dan penyelesaian bukan punca rakyat terpinggir serta terbiar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN