PUSAT Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU), Universiti Utara Malaysia menyambut baik Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 (RPTM 2026–2035) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 20 Januari 2026.
Salah satu isu dan cabaran utama dalam landskap pendidikan tinggi masa kini ialah kesihatan mental dan kesejahteraan. Statistik menunjukkan bahawa isu kesihatan mental yang mencatatkan peningkatan berterusan, hasil gabungan pelbagai faktor kendiri dan persekitaran.
Dunia yang semakin mencabar menuntut pelajar untuk bersaing secara intensif dalam akademik, sekaligus mengurangkan fokus terhadap perkembangan emosi dan keseimbangan diri.
Selain itu, kepelbagaian media sosial turut mempengaruhi pemikiran serta kesejahteraan psikologi individu. Kesan pasca pandemik Covid-19 juga menyumbang kepada peningkatan kes kesihatan mental, khususnya akibat pengasingan sosial, kurang interaksi bersemuka dan gangguan terhadap perkembangan sosial.
RPTM 2026–2035 menggariskan empat nilai teras dalam kerangka dan aspirasi pendidikan tinggi iaitu berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan.
Konsep kesejahteraan holistik menekankan keseimbangan serta keharmonian merentas dimensi intelektual, spiritual, emosi dan fizikal bagi memastikan pembangunan insan yang menyeluruh dan beradab.
Sejajar dengan aspirasi tersebut, PKKU UUM beriltizam untuk terus memupuk kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup aktif dalam kalangan warga universiti bagi menyokong produktiviti serta ketahanan jangka panjang.
PKKU juga komited untuk membentuk daya tahan, empati dan kesedaran diri demi memperkukuh komunikasi yang berkesan serta mewujudkan hubungan yang harmoni dalam komuniti UUM.
Usaha ini diharap dapat melahirkan individu yang seimbang, beretika dan berkeupayaan tinggi, seterusnya menyumbang secara bermakna kepada pembangunan diri, kemajuan masyarakat dan kemakmuran negara. – UTUSAN
DR. ADI AZHAR ABDUL RAZAK
Pengarah Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan (PKKU), Universiti Utara Malaysia










