KUALA LUMPUR: Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya bertindak membawa replika keranda buatan dan batu nisan sebagai simbolik bantahan pelaksanaan Hukuman Tatatertib Terus dalam demonstrasi aman di Universiti Malaya (UM).
Situasi yang pada awalnya dalam keadaan terkawal bertukar menjadi tegang seketika apabila berlaku pergelutan kecil antara peserta dan polis bantuan UM ketika keranda tersebut mula diusung keluar untuk berarak.
Timbalan Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Gan Zi Xiang berkata, tindakan itu melambangkan autonomi mahasiswa yang didakwa semakin terhakis dan suara pelajar disekat.
“KMUM membantah beberapa peruntukan tatatertib termasuk Kaedah 25 iaitu membuat bising, etika pemakaian dan arahan ketenteraman yang disifatkan kabur serta membuka ruang salah guna kuasa.
“Saya bersama mahasiswa lain mengecam tindakan mengenakan kompaun serta-merta berjumlah RM250 jika melakukan kesalahan melibatkan Ketenteraman dan Tatatertib dan menganggap tindakan itu tidak munasabah, menekan pelajar,” katanya sewaktu berucap selepas selesai melakukan perarakan Himpunan Aman Banteras Hukuman Tatatertib Terus di Universiti Malaya (UM) di sini semalam.
Perarakan yang bermula sekitar pukul 3:30 petang dan tamat pada pukul 4:30 petang itu melibatkan hampir 100 mahasiswa dan telah bermula dari Kompleks Perdana Siswa ke Canselori Universiti Malaya dan turut disertai Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY).
Zi Xiang turut menyerahkan memorandum kepada Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman, menuntut pemansuhan penuh Hukuman Tatatertib Terus.
Kata Zi Xiang, kesatuan memberi tempoh tujuh hari dari tarikh penyerahan memorandum agar universiti memansuhkan sepenuhnya pelaksanaan hukuman berkenaan dan menyemak kerangka tatatertib.
“Kami menyeru agar pihak universiti menghentikan penggunaan hukuman berbentuk kompaun dan denda bagi kesalahan tatatertib dan menyemak semula keseluruhan kerangka tatatertib pelajar dengan penglibatan semua wakil KMUM bagi memastikan prinsip keadilan, ketelusan dan akauntabiliti ditegakkan,” katanya.
Dalam pada itu melalui kenyataan rasmi, UM semalam telah menjelaskan tindakan demonstrasi aman mahasiswa berhubung pelaksanaan Hukuman Tatatertib Terus telahpun diambil maklum pihak universiti dan sedang diberi perhatian serius.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Prof. Dr. Zamri Radzi berkata, bagi mengelakkan tumpuan akademik pelajar terjejas terutama menjelang peperiksaan, pihak universiti memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut serta-merta.
“UM akan melaksanakan kajian semula secara menyeluruh dan inklusif dengan melibatkan kepimpinan pelajar serta KMUM bagi memastikan setiap keputusan selari prinsip keadilan, keterbukaan dan kebajikan mahasiswa.
“Universiti Malaya percaya bahawa pendekatan dialog dan saling menghormati merupakan asas terbaik dalam menangani sebarang isu melibatkan pelajar. UM kekal komited untuk memelihara kebajikan pelajar serta memastikan setiap keputusan yang diambil selaras dengan nilai keadilan, keterbukaan dan tanggungjawab institusi,” katanya. – UTUSAN










