PETALING JAYA: Rata-rata pelajar institusi pengajian tinggi meminta kerajaan untuk menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada mereka sama seperti yang diterima golongan bekerja.
Permintaan itu berikutan kos sara hidup pelajar semakin meningkat dan setara dengan golongan bekerja, susulan peningkatan harga barangan asas, sewaan kediaman, keperluan akademik serta kos pengangkutan yang terus menekan situasi kewangan mereka.
Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Sharifah Shazfika Syed Mohamed Rahim, 24, berkata, mereka tetap berdepan tekanan kewangan akibat kenaikan harga makanan, sewa rumah, pengangkutan serta keperluan akademik yang semakin tinggi.

Sharifah Shazfika berkata, jika dibandingkan dengan golongan bekerja berpendapatan rendah yang menerima STR, pelajar berada dalam situasi kewangan yang sama berat, malah lebih mencabar kerana sumber pendapatan mereka sangat terhad.
“Pelajar universiti sepenuh masa memang rasa agak dipinggirkan. Walaupun kami belum bekerja, kos sara hidup tetap naik dan ramai pelajar datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Pelajar universiti sepenuh masa memang rasa agak dipinggirkan. Walaupun kami belum bekerja, kos sara hidup tetap naik dan ramai pelajar datang daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pandangan sama disuarakan seorang lagi pelajar UiTM Shah Alam, Nik Zarif Nik Azhan Hakim, 23, yang berkata pelajar turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup walaupun belum memasuki alam pekerjaan sepenuh masa.
Katanya, tekanan kewangan itu menyebabkan ramai pelajar terpaksa bekerja sambilan semata-mata untuk menampung kos hidup, sekali gus memberi kesan terhadap fokus pengajian.
“Ada pelajar terpaksa kerja separuh masa untuk tampung kos sara hidup. Untuk sesetengah orang, ia boleh ganggu fokus belajar dan prestasi akademik.
“Kalau STR bertujuan meringankan beban kos sara hidup, pelajar juga wajar dilihat sebagai kumpulan yang memerlukan sokongan, bukan dibiarkan tercicir,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perluasan STR atau menyediakan bantuan khusus kepada pelajar universiti sepenuh masa bagi meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat. – UTUSAN










