APABILA bercerita tentang demokrasi, secara simplistiknya, ia semestinya melibatkan suatu sosiomasyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat atau kasta, yang berkehendak dalam mencorak masa depan negara.
Dalam Islam sendiri, elemen demokrasi telah terserlah apabila berlaku pemilihan khalifah menggunakan undi para ketua kabilah.
Walaupun ia tidaklah memperlihatkan bilangan undi yang spesifik, tetapi mendengar suara majoriti untuk memilih pemimpin juga sebenarnya adalah konsep asas demokrasi.
Kata Syeikh Yusuf Al Qardawi dalam kitabnya Min Fiqh Ad Daulah Fil Islam, walaupun demokrasi tidak diterima sebagai ideologi mutlak tetapi sesungguhnya aspek liberalisme yang terbaik dari demokrasi ialah sisi politiknya, yang terserlah melalui tertegaknya sistem perwakilan, rakyat berpeluang memilih wakil-wakil mereka untuk melaksanakan kuasa legislatif di Parlimen.
Dalam dunia moden pada hari ini, demokrasi dilihat lebih kompleks daripada itu. Sistem semak dan imbang yang harus dipikul oleh pembangkang menyempurnakan kecacatan di pihak yang diberi mandat untuk menjadi kerajaan.
Jika sistem semak dan imbang berfungsi dengan baik, maka kita akan melihat sebuah kerajaan yang pesat berkembang. Jika buruk sistem semak dan imbang, maka cacatlah sistem demokrasi tersebut.
Hari ini, kita melihat suatu perkembangan demokrasi yang sangat hebat. Mahasiswa telah pun menjadi salah satu daripada sistem semak dan imbang kepada kerajaan.
Apa yang dapat kita amati ialah pada hari ini, wujudnya komuniti-komuniti mahasiswa yang berjuang mengangkat suara mahasiswa dan suara rakyat supaya didengari oleh kerajaan.
Sebagai contoh, antara bibit-bibit terbesar kebangkitan mahasiswa adalah pada Peristiwa Baling 1974 iaitu kemuncak kepada kebangkitan mahasiswa.
Isunya adalah apabila harga getah jatuh menjunam dan telah memberi tekanan kepada golongan petani khususnya penoreh getah.
Maka, pada ketika itu, ia telah menyalakan api kebangkitan mahasiswa yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berlaku demonstrasi besar-besaran untuk mengangkat suara golongan terpinggir dan petani yang tidak didengari.
Peristiwa Baling 1974 menjadi simbol kebangkitan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial. Mahasiswa yang dulunya dianggap golongan pelajar biasa, kini berubah menjadi penggerak yang mengangkat suara masyarakat.
Begitu juga pada saat ini, mahasiswa-mahasiswa masih aktif mengangkat suara berkaitan hak kebajikan masyarakat dan hak kebajikan mahasiswa.
Baru-baru ini kita lihat wujudnya mahasiswa yang berkampung di depan Parlimen, semata-mata untuk mengangkat suara petani yang tertindas dan mengangkat soal isu pendidikan masyarakat.
Wujudnya komuniti mahasiswa pada hari ini, yang membuat sidang media untuk menolak sekeras-kerasnya salah guna kuasa universiti dan langkah universiti yang menindas mahasiswa.
Wujudnya kongres mahasiswa yang bertujuan untuk mengumpul suara mahasiswa dan masyarakat untuk diangkat kepada kerajaan.
Semua ini adalah bukti bahawa mahasiswa dalam negara kita mampu menjadi sistem semak dan imbang yang baik, yang boleh membawa kepada penyempurnaan prinsip-prinsip dalam demokrasi.
Natijahnya, suara-suara masyarakat dan mahasiswa yang terpinggir dapat diangkat untuk menyedarkan kerajaan dan pihak atasan tentang kekurangan kekurangan yang wujud.
Maka, penambahbaikan boleh dibuat. Dengan adanya suara-suara mahasiswa ini, menunjukkan bahawa sistem demokrasi kita masih berada dalam keadaan yang memuaskan justeru suara mahasiswa dan masyarakat tidak akan terpinggir. – UTUSAN
FARIS LUQMAN
Ikatan Legasi Mahasiswa Ulul Albab Nasional (ILMUAN)
Mahasiswa Universiti Malaya (UM)










