PETALING JAYA: Keinginan mengejar gaya hidup mewah mendorong segelintir mahasiswa terjebak dalam kegiatan ‘darkside’.
Fenomena itu dikatakan semakin menular dengan pelajar membuka akaun media sosial tidak bermoral sebagai jalan pantas meraih pendapatan lumayan untuk membiayai gaya hidup yang mewah dan eksklusif.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ‘darkside’ merujuk kepada akaun media sosial yang memuat naik gambar atau video lucah sebelum mengenakan bayaran langganan atau harga tertentu kepada pelanggan.
Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Syasya, 24, berkata, kadar bayaran tinggi yang ditawarkan itu menjadi tarikan utama, khususnya dalam kalangan mahasiswa yang mahu menikmati kemewahan sebenar.
“Bayaran bergantung pada permintaan. Ada yang sanggup bayar RM1,500 hingga RM2,000 untuk gambar atau video separuh badan, manakala gambar atau video penuh pula boleh mencecah RM3,000. Bergantung pada permintaan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, pendapatan daripada ‘darkside’ itu sering digunakan untuk tujuan peribadi seperti membeli beg berjenama, kosmetik mahal dan untuk berhibur.
Seorang lagi mahasiswa yang mahu dikenali sebagai Nabila, 20, mengakui terjebak dalam kegiatan ‘darkside’ selepas mengetahui cara mendapatkan wang dengan pantas menerusi media sosial.
Menurutnya, pada peringkat awal dia menyertai beberapa kumpulan di aplikasi Telegram yang menawarkan langganan berbayar sebelum mula menjual kandungan sendiri.
Katanya, pendapatan yang diperoleh digunakan bagi menampung kos sara hidup di ibu kota serta membiayai gaya hidup mewahnya.
“Duit daripada ‘darkside’ ini buatkan saya boleh hidup selesa, beli barang mahal dan simpanan itu juga membolehkan saya bayar duit muka untuk beli kereta.
“Saya akui kemewahan ini jadikan saya sukar untuk keluar daripada kegiatan tersebut,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar, Fatin, 25, turut berkongsi penglibatannya dalam dunia tersebut dan sukar untuk keluar meskipun tahu perlakuan itu adalah salah dari segi moral dan nilai.
Akuinya, faktor kewangan dan kemewahan yang dirasai membuatkan dia ‘menutup mata’ terhadap sebarang risiko jangka panjang.
“Bila ada duit, hidup rasa senang. Orang sekeliling pun pandang kita berbeza. Disebabkan nampak mewah, ramai mahu berkawan. Bagi saya, duit yang banyak boleh selesaikan banyak masalah, sebab itu berat untuk saya keluar dari dunia ini,” katanya.
Nadhirah, 23, pula berkongsi cerita penglibatan rakannya dalam dunia hitam itu kerana terdorong dengan keinginan hidup mewah tanpa perlu bekerja keras.
“Dia hendak duit cara lebih mudah dan cepat untuk beli barang mahal, tukar telefon baharu atau pergi bercuti dan ‘darkside’ dianggap cara paling cepat.
“Mereka buat kerja ini senyap-senyap. Selagi tak tunjuk muka, tak ada siapa tahu. Jadi tak rasa bersalah,” katanya. – UTUSAN










