ALLAH mewajibkan umat Islam berpuasa di bulan Ramadan melalui firman-Nya: “Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah: 183).
Ibadat puasa mengandungi hikmat dan maqasid yang mendidik manusia dalam pelbagai aspek kehidupan.
Antara nama Allah ialah al-Hakim, Maha Bijaksana. Segala perintah dan perundangan-Nya jelas mengandungi hikmah yang tinggi.
Kefardhuan ibadat bukan untuk menyusahkan manusia, bahkan membawa maslahat kepada diri.
Puasa mendidik manusia agar bertakwa, menahan diri daripada hawa nafsu, maksiat, makan dan minum sebagai tanda ketaatan.
Hadis Qudsi menyatakan puasa dilakukan khusus untuk Allah dan ganjarannya hanya Dia yang memberi. Dengan itu, puasa bukan sekadar rutin tetapi ibadat yang menenangkan jiwa dan memperkuat keimanan.
Nabi SAW bersabda bahawa di bulan Ramadan, syaitan dibelenggu, pintu syurga dibuka manakala pintu neraka dikunci, membolehkan manusia menahan nafsu dan mencapai ketenangan jiwa.
Selain itu, puasa mengingatkan orang berkemampuan tentang golongan fakir dan miskin.
Dengan merasai lapar dan dahaga, hati menjadi lebih lembut, mudah memberi santunan dan bersedekah.
Ibn Rajab al-Hanbali menekankan pensyariatan puasa membolehkan si kaya tidak melupakan mereka yang kelaparan, sekali gus mengukuhkan solidariti sosial.
Dari aspek kesihatan, puasa memberi rehat kepada tubuh dan mengawal pemakanan, sekali gus mengurangkan risiko penyakit.
Luqman al-Hakim menasihati perut yang terlalu penuh akan menumpulkan akal dan menghalang amal ibadah. Malah, puasa turut menyegarkan minda dan menumpukan perhatian kepada tugasan yang bermanfaat.
Sejarah juga menunjukkan banyak kejayaan umat Islam berlaku pada bulan Ramadan, termasuk peperangan Badar dan pembukaan kota Mekah.
Ini membuktikan puasa bukan sekadar ibadat individu tetapi memberi kesan positif kepada masyarakat secara keseluruhan, mengukuhkan hubungan sosial dan mengasah disiplin, kesihatan serta keimanan. – UTUSAN
DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
Fakulti Pengajian Quran & Sunnah,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










