Di usia 100 tahun masih puasa, tetap khatam al-Quran

Di usia 100 tahun masih puasa, tetap khatam al-Quran

HAMZAH Mohd. Salleh masih sihat minda dan fizikal walaupun berusia 100 tahun serta masih mampu berpuasa di bulan Ramadan. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Usia mencecah satu abad bukan penghalang bagi Hamzah Mohd. Salleh, 100, untuk terus istiqamah berpuasa setiap kali Ramadan, malah warga emas itu tetap khatam al-Quran sekurang-kurangnya dua kali sepanjang bulan mulia tersebut.

Lebih mengagumkan, lelaki itu ditemani isterinya, Norkiah Talib, 87, yang setia bersama dalam setiap ibadah dan perjalanan hidup mereka sejak lebih enam dekad lalu.

Hamzah yang dilahirkan pada 1926 berkata, amalan membaca al-Quran selepas Subuh dan Maghrib menjadi pegangan hidupnya sejak muda.

“Setiap Ramadan saya fokus khatam al-Quran. Dari dulu memang begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagi Hamzah, bacaan al-Quran bukan sekadar ibadah, malah menjadi sumber ketenangan jiwa dan rahsia kesihatan yang membolehkannya menjalani kehidupan dengan baik walaupun sudah berusia 100 tahun.

Keikhlasan warga emas itu turut terserlah apabila menyumbangkan RM35,000 bagi pembinaan masjid baharu Kampung Berhala Gantang, bukti kecintaan terhadap rumah Allah dan usaha memakmurkan institusi ibadah.

Hamzah yang membesar di Kampung Kuala Gantang pernah melalui zaman getir ketika Jepun menjajah Tanah Melayu. Pendidikan beliau terhenti setakat darjah enam sebelum menyertai pasukan polis pada 1953.

Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat, beliau pernah ditugaskan di Temerloh, Maran, Kuala Lipis dan Johor Bahru, termasuk pasukan Polis Marin (kini Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) yang menjaga keselamatan perairan negara.

Warga emas tersebut bersara pada 1987 dan kini menikmati kehidupan tenang bersama keluarga besar lapan anak, 26 cucu serta 10 cicit yang menjadi penyeri hari tuanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN