TPGCC raikan anak yatim PeKEAS sempena Ramadan

TPGCC raikan anak yatim PeKEAS sempena Ramadan

TASIK Puteri Golf & Country Club (TPGCC) bersama Sri Nona Foods sewaktu meraikan 50 anak yatim Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PeKEAS) dalam program Selera Nostalgia: Majlis berbuka bersama anak yatim PeKEAS di TPGCC, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Tasik Puteri Golf & Country Club (TPGCC) meraikan seramai 50 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PeKEAS) dalam majlis berbuka puasa di sini, semalam.

Pengurus Besarnya, Nor Afendi Mohd. Razlan berkata, program itu sebahagian komitmen berterusan kelab sejak 2025 dalam menyantuni komuniti setempat, khususnya buat golongan memerlukan sempena bulan Ramadan.

Menurutnya, program ini merupakan salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalinkan bersama syarikat Sri Nona Foods iaitu anak syarikat kepada Fraser & Neave Holdings Berhad (F&NHB).

“Program ini bukan sekadar memfokuskan kepada majlis berbuka puasa sahaja, tetapi sebagai salah satu bentuk sumbangan kami kepada komuniti setempat yang memerlukan,” katanya sewaktu merasmikan program Selera Nostalgia: Majlis berbuka bersama anak yatim PeKEAS di TPGCC.

Selain itu, Pengarah F&NHB, Norazrin Norsyam Yee berkata, pihaknya turut komited menyalurkan sumbangan makanan kepada PeKEAS sekiranya mereka berdepan kekurangan bekalan makanan sepanjang Ramadan.

Katanya, bantuan itu sebagai langkah memastikan kebajikan anak-anak jagaan sentiasa terpelihara dan tidak terputus bekalan makanan.

“Saya berharap sumbangan berkenaan dapat memberi kegembiraan serta menyuntik semangat kepada anak-anak yatim tersebut,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PeKEAS, Rosli Abd. Ghani merakamkan penghargaan atas keprihatinan TPGCC dan F&NHB dalam usaha untuk membantu menceriakan anak-anak jagaannya.

Katanya, program tersebut serba sedikit memberikan keceriaan kepada wajah anak-anak yatim itu kerana sudi menjemput mereka untuk bersama-sama berbuka puasa.

“Anak-anak gembira menerima sumbangan duit raya daripada pihak penganjur, dan ia membuatkan mereka berasa dihargai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN