Jaga kesihatan gigi di bulan Ramadan

Jaga kesihatan gigi di bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN sering dikaitkan dengan lapar, dahaga dan kesabaran. Kita berbicara tentang waktu berbuka, menu sahur dan gandaan pahala. Namun jarang sekali kita merenung satu aspek yang sangat asas tetapi amat penting dalam ibadah puasa, mulut.

Sedangkan daripadanya bermula perjalanan makanan yang menyuburkan tubuh, dan daripadanya juga terbit kata-kata yang menentukan nilai rohani puasa kita.

Sebagai seorang pengamal dan pendidik dalam bidang pergigian, saya melihat Ramadan bukan sahaja sebagai madrasah spiritual, tetapi juga ruang untuk muhasabah kesihatan khususnya kesihatan mulut yang sering dipandang remeh.

Secara biologi, proses penghadaman bermula di rongga mulut. Gigi menghancurkan makanan, air liur memulakan pencernaan, dan keseimbangan bakteria dalam mulut mempengaruhi kesihatan keseluruhan tubuh.

Namun realitinya, penyakit pergigian masih antara masalah kesihatan paling lazim dalam kalangan rakyat Malaysia.

KETIKA berbuka, makanan manis dan minuman bergula sering menjadi pilihan utama. Ini boleh meningkatkan risiko kerosakan gigi.

Karies gigi dan penyakit gusi bukan sekadar isu kosmetik, ia berkait dengan kesakitan, jangkitan, produktiviti kerja, malah dalam kes tertentu boleh memberi kesan sistemik kepada kesihatan jantung dan metabolik.

Ramadan mengubah corak pemakanan kita. Ketika berbuka, makanan manis dan minuman bergula sering menjadi pilihan utama. Jika tidak disertai penjagaan kebersihan yang baik, keadaan ini meningkatkan risiko kerosakan gigi.

Tambahan pula, pengurangan air liur akibat dehidrasi sepanjang berpuasa boleh menyebabkan mulut kering (xerostomia), yang meningkatkan risiko pembiakan bakteria dan pembentukan asid.

Di sinilah disiplin Ramadan sepatutnya diperluas bukan sekadar mengawal kuantiti makanan, tetapi juga mengawal kualiti penjagaan diri.

Ramadan mendidik kawalan diri. Ia melatih kita menangguhkan keinginan dan menghargai nikmat. Prinsip yang sama boleh diaplikasikan dalam kesihatan. Amalan bersiwak yang sangat ditekankan oleh Rasulullah SAW bukan sekadar sunnah ritual, tetapi juga satu mesej kesihatan awam.

Kebersihan mulut diberi perhatian dalam tradisi Islam jauh sebelum sains moden memahami peranan bakteria dan plak. Memberus gigi ketika berpuasa adalah harus dan tidak membatalkan puasa selagi tiada bahan ditelan secara sengaja.

Bau mulut bukan lambang kesolehan, tetapi mungkin tanda kurangnya penjagaan kebersihan. Sebagai masyarakat yang semakin celik kesihatan, kita perlu membetulkan persepsi dan mengangkat penjagaan mulut sebagai sebahagian daripada adab Ramadan.

Dalam konteks moden, persoalan sering timbul: Adakah rawatan pergigian membatalkan puasa? Keresahan ini wajar kerana umat Islam ingin memastikan ibadah mereka terpelihara dengan sempurna.

Namun secara prinsipnya, rawatan seperti tampalan gigi, pembersihan karang gigi (scaling), rawatan akar dan cabutan tidak membatalkan puasa selagi tiada bahan yang ditelan secara sengaja.

Suntikan bius setempat juga tidak membatalkan puasa kerana ia bukan makanan atau minuman dan tidak melalui saluran pemakanan yang biasa.

Dalam fiqh Islam, perkara yang membatalkan puasa berkait dengan sesuatu yang masuk ke dalam rongga melalui jalan yang terbuka dan sampai ke perut secara sengaja.

Oleh itu, prosedur pergigian yang melibatkan penggunaan air, bahan irigasi atau ubat-ubatan memerlukan langkah berhati-hati, tetapi bukanlah secara automatik membatalkan puasa.

Teknologi moden dalam pergigian seperti penggunaan suction dan pengasingan kawasan rawatan membantu meminimumkan risiko tertelan bahan secara tidak sengaja.

Lebih penting lagi, prinsip fiqh al-darar yuzal, kemudaratan hendaklah dihilangkan menjadi panduan asas. Dalam kerangka maqasid syariah, menjaga kesihatan termasuk dalam pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs).

Kesakitan yang teruk, jangkitan yang boleh merebak atau risiko komplikasi bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan atas alasan ibadah. Islam tidak menuntut pengorbanan yang membawa mudarat kepada tubuh.

Kesihatan adalah amanah daripada Allah SWT, dan menjaga amanah adalah tuntutan agama.

Dari perspektif kesihatan awam pula, menangguhkan rawatan boleh membawa implikasi yang lebih besar. Jangkitan gigi yang tidak dirawat boleh menjejaskan kualiti hidup, produktiviti kerja, malah dalam kes tertentu memberi kesan sistemik kepada kesihatan keseluruhan.

Oleh itu, keputusan untuk mendapatkan rawatan bukan sekadar keputusan individu, tetapi juga berkait dengan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

Namun bagi rawatan yang bersifat elektif atau tidak mendesak, pesakit boleh merancang temujanji selepas waktu berbuka demi keselesaan dan ketenangan diri. Di sinilah kita melihat keseimbangan yang indah dalam Islam, antara kesungguhan menjaga ibadah dan keperluan menjaga kesejahteraan diri.

Islam bukan agama yang menyulitkan, tetapi agama yang meraikan kemudahan dan keseimbangan. Dalam fiqh pergigian, seperti dalam banyak aspek kehidupan, kita diajar untuk melihat sesuatu bukan hanya dari sudut hukum semata-mata, tetapi dari sudut hikmah dan maslahat yang lebih luas.

Pada akhirnya, fiqh bukan sekadar menentukan halal atau batal, tetapi membimbing kita memahami bahawa menjaga kesihatan adalah sebahagian daripada menjaga agama itu sendiri.

Sebagai seorang pengamal pergigian dan juga pensyarah, saya melihat Ramadan sebagai peluang untuk kembali kepada nilai yang paling asas, integriti, disiplin dan amanah.

Dalam dunia yang semakin kompleks dengan teknologi dan cabaran kesihatan moden, kita mudah terpesona dengan perkara besar dan canggih, tetapi sering terlupa bahawa perubahan sebenar bermula dengan asas yang dijaga secara konsisten.

Menjaga kesihatan mulut, menapis kata-kata dan mendidik generasi akan datang dengan kefahaman bahawa sains dan nilai tidak boleh dipisahkan dan itulah tanggungjawab kita.

Harapan saya, semoga Ramadan ini bukan sahaja memperbaiki amalan ibadah kita, tetapi juga membentuk insan yang lebih beretika, lebih berdisiplin dan lebih ihsan dalam menjaga hak-hak tubuh badan kita, kerana akhirnya, kesempurnaan ibadah dan kecemerlangan individu bertemu pada satu titik yang sama, nilai yang berpijak di bumi, tetapi hati yang sentiasa menuju Tuhan. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Haikal Muhamad Halil ialah Dekan di Kulliyah Pergigian (KOD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN