MENJADI guru bukan sekadar profesion sebaliknya merupakan panggilan nurani dan amanah. Setiap guru yang memilih kekal di bilik darjah membawa azam untuk mendidik bukan sekadar minda tetapi hati dan sahsiah murid.
Pendidikan bukan hanya tentang buku teks atau peperiksaan tetapi tentang membimbing murid menghadapi kegagalan, menyalakan rasa ingin tahu dan membina keyakinan diri sepanjang hayat. Guru yang berazam memahami kejayaan murid adalah hasil usaha bersama antara guru, murid, keluarga dan komuniti.
Di sebalik kekangan sumber, perbezaan tahap kebolehan murid dan tekanan pentadbiran, ramai guru tidak berputus asa. Mereka menyesuaikan kaedah, mencari pendekatan kreatif dan memanjangkan kesabaran untuk memastikan setiap murid mendapat peluang yang adil.
Azam ini diterjemahkan dalam tindakan harian melalui rancangan pengajaran yang teliti, teguran yang membina dan senyuman yang menaikkan keyakinan murid.
Pelancaran Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) menandakan fasa pembaharuan dalam pendidikan negara bertujuan melahirkan murid seimbang, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan kompleks.
Namun, kejayaan kurikulum ini bergantung kepada azam guru. Azam bukan semangat sementara atau angan-angan ideal tetapi keputusan sedar yang dibuat setiap hari untuk terus mendidik dengan niat, empati dan kesedaran, walau berdepan cabaran masa, sumber ataupun tekanan.
Kurikulum baharu memberi lebih fleksibiliti, autonomi serta membawa cabaran baharu. Guru perlu mentafsir dasar dalam konteks murid berlatar belakang berbeza. Perbezaan ini menunjukkan azam bertindak dalam realiti yang tidak sempurna, berbeza daripada angan-angan yang menunggu keadaan ideal.
Kadangkala, azam hadir melalui keputusan kecil yang konsisten dengan mendengar murid sebelum menghukum, terus belajar walaupun lama berkhidmat dan kekal berperikemanusiaan dalam sistem berorientasikan data mahupun prestasi.
Isu Tahun Satu pada usia enam tahun mulai 2027 menekankan perlunya sistem bersedia untuk menerima murid muda. Pada usia ini, kanak-kanak masih membina kematangan emosi, sosial dan keyakinan diri. Sekiranya dasar hanya menurunkan jangkaan akademik sedia ada, maka risiko tekanan awal dan hilang minat terhadap sekolah meningkat.
Tahun Satu perlu berfungsi sebagai jambatan peralihan dengan pendekatan berasaskan permainan, penceritaan, interaksi dan pergerakan, bukan akademik formal.
Ujian diagnostik boleh membantu mengenal pasti keperluan sokongan, bukan untuk melabel murid. Guru memerlukan sokongan nyata termasuk penyediaan kelas lebih kecil, bantuan pengajaran, latihan khusus dan pengurangan beban pentadbiran.
Pendidikan awal yang baik menekankan keselamatan, keyakinan dan minat belajar, bukan fokus kelajuan membaca atau menulis.
Perkembangan terkini, termasuk penarikan balik cadangan, menimbulkan persoalan tentang konsistensi dasar. Pendidikan tidak boleh dijadikan medan uji cuba tetapi mesti dirancang rapi, berlandaskan dialog, kajian impak dan keadilan.
Kejayaan pendidikan bergantung pada kesediaan sistem untuk berlaku adil, memberi ruang kepada guru dan menghormati perkembangan murid tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
Guru tidak dituntut menjadi sempurna tetapi konsisten dalam niat, nilai dan tanggungjawab. Azam guru memastikan pendidikan tidak kehilangan roh di sebalik perubahan dasar dan struktur.
Masa hadapan pendidikan ditentukan oleh keadilan sistem terhadap murid dan ribuan azam senyap guru yang hadir di bilik darjah bukan sekadar sebagai penyampai ilmu tetapi sebagai pembina insan.
Di situlah pendidikan menemukan maknanya apabila dasar menghormati realiti, guru diberi ruang dan kepercayaan sementara murid dibentuk sebagai insan, bukan sekadar angka dan penanda aras.
Pendidikan yang memanusiakan lahir daripada gabungan azam guru, kesediaan sistem dan komitmen masyarakat untuk melihat ilmu sebagai pembina manusia, bukan sekadar alat kejayaan material. -UTUSAN
SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor










