Durian Musang King semakin mampu milik?

Durian Musang King semakin mampu milik?

HARGA durian Musang King yang lebih mesra poket membuka peluang agar nikmat raja buah ini dapat dinikmati oleh keluarga sederhana, pekerja harian dan golongan muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSANG King kini boleh didapati pada harga yang lebih rendah dan semakin mampu milik. 

Musim tuaian yang memuncak menyebabkan lambakan bekalan di pasaran. Apabila hasil durian meningkat dengan banyak, peniaga perlu menghabiskan stok dalam tempoh singkat bagi mengelakkan buah rosak dan kerugian. 

Dalam keadaan ini, harga Musang King terpaksa diturunkan. Selain itu, semakin banyak ladang Musang King yang matang dan mengeluarkan hasil secara konsisten, sekali gus meningkatkan persaingan dan memberi kelebihan kepada pengguna.

Perkembangan ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar isu harga. Harga durian Musang King yang lebih mesra poket membuka peluang agar nikmat raja buah ini dapat dinikmati oleh keluarga sederhana, pekerja harian dan golongan muda.

Namun begitu, pengguna perlu kekal berhemah. Harga murah tidak bermaksud semua buah berkualiti sama. Pembeli disarankan memilih peniaga yang dipercayai, bertanya tentang gred durian dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran terlalu murah yang mungkin mengorbankan mutu. 

Strategi membeli dalam kuantiti kecil terlebih dahulu atau berkongsi pembelian dengan ahli keluarga dan rakan juga dapat mengelakkan pembaziran serta memastikan perbelanjaan lebih terkawal.

Dalam masa sama, ia mencerminkan bagaimana pasaran makanan boleh menjadi lebih inklusif. Ada ketika, lebihan hasil dan persaingan sihat memberi manfaat langsung kepada pengguna. Ia mengingatkan kita makanan berkualiti tinggi tidak semestinya perlu kekal eksklusif sepanjang masa.

Apa yang pasti, peluang seperti ini tidak datang selalu. Apabila musim durian berakhir atau permintaan kembali meningkat, harga Musang King berkemungkinan naik semula dan kita pula kembali kepada kategori ‘mampu tengok’. 

Jadi semasa harga masih rendah dan bekalan masih ada, inilah masa terbaik untuk mencuba dan menghargai hasil bumi tempatan yang bernilai tinggi.

Musang King harga marhaen membuka ruang agar raja buah dapat dinikmati bersama, tanpa mengira latar belakang pendapatan. Bagi rakyat biasa, inilah masanya untuk nikmati dan jangan lepaskan peluang. -UTUSAN

 

NORLAILA ABDULLAH CHIK

Pensyarah Kanan,

Pusat Pengajian Kerajaan,

Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×