Bimbang kes kecurian kabel jejas ECRL

Bimbang kes kecurian kabel jejas ECRL

SEBARANG gangguan terhadap sistem komunikasi, landasan atau infrastruktur boleh mengundang risiko.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka memulakan operasi pada awal 2027 sememangnya membawa khabar gembira kepada rakyat.

Namun, baru-baru ini, dilaporkan berlaku kecurian kabel komunikasi ECRL di beberapa jajaran, termasuk di Temerloh pada September 2025.

Jenayah mencuri kabel bukan perkara baharu di negara kita. Penjenayah menyasarkan kabel kerana nilai tinggi di pasaran gelap, walaupun tindakan itu membahayakan nyawa sendiri.

Malah, kes renjatan penumpang elektrik yang meragut nyawa pencuri sebelum ini juga tidak cukup untuk mengekang kegiatan tersebut.

ECRL ialah sistem pengangkutan moden yang bakal beroperasi dengan kelajuan sehingga 160 kilometer sejam. Sebarang gangguan terhadap sistem komunikasi, landasan atau infrastruktur berkaitan boleh mengundang risiko besar.

Oleh itu, pihak pengendali perlu melaksanakan langkah keselamatan yang menyeluruh dan proaktif, bukan sekadar bergantung pada pagar atau rondaan berkala.

Pertama, penubuhan Pasukan Polis Bantuan khusus amat wajar dipertimbangkan. Pasukan ini boleh memantau keselamatan aset dan penumpang secara berterusan, termasuk ketika fasa pembinaan.

Kehadiran anggota keselamatan yang terlatih mampu mencegah pencerobohan dan memberi keyakinan kepada orang ramai.

Kedua, penggunaan teknologi perlu dipertingkatkan. Kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berisiko tinggi serta sistem pemantauan pintar dapat membantu mengesan pergerakan mencurigakan dengan lebih pantas.

Selain itu, penggunaan dron untuk rondaan berkala, terutama pada waktu malam boleh memperluas liputan pemantauan tanpa memerlukan tenaga kerja yang ramai.

Ketiga, semua laluan sementara atau jalan akses projek yang tidak lagi digunakan selepas pembinaan perlu ditutup sepenuhnya. Langkah ini penting bagi mengelakkan ia menjadi laluan mudah kepada penceroboh.

Laluan penyelenggaraan juga perlu direka dalam kawasan berpagar atau mempunyai penghadang yang kukuh.

Akhir sekali, ciri keselamatan tambahan seperti penghadang antipanjat pada tiang elektrik dan struktur penting wajar dipasang bagi menghalang cubaan sabotaj.

Keselamatan aset ECRL bukan sekadar melindungi harta benda tetapi menjamin keselamatan ribuan penumpang setiap hari. Jika mahu rakyat menggunakan ECRL dengan penuh keyakinan, maka aspek keselamatan diberi keutamaan bermula sekarang, sebelum tren pertama mula bergerak. – UTUSAN

TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN