PETALING JAYA: Kerja-kerja pembersihan dan persediaan awal bagi pembangunan di kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di laluan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah bermula.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proses pembersihan di kawasan utama seperti Chukai, Kemasik dan Dungun itu menandakan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan tersebut benar-benar direalisasikan.
“Ini menunjukkan sejauh mana kesungguhan kita untuk memastikan ia (pembangunan) berlaku. Kerajaan ini juga mahu memastikan pembangunan ini tidak meninggalkan rakyat di belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama merancang dan membangunkan pembanganan TOD di Negeri Terengganu antara kerajaan Terengganu dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd.
Ahmad Samsuri berkata, kerjasama strategik itu akan mengoptimumkan potensi kawasan sekitar stesen ECRL sekali gus menjana aktiviti ekonomi baharu yang lebih dinamik dan kompetitif.
“MoU ini adalah langkah strategik untuk memastikan pembangunan kawasan sekitar stesen ECRL dilaksanakan secara terancang dan memberi impak besar kepada ekonomi negeri serta pelaburan swasta,”katanya.
Selain itu, beliau berkata, Terengganu kini sedang melengkapkan infrastruktur asas termasuk menaik taraf Pelabuhan Kemaman bagi menyokong kemasukan pelaburan baharu dan memperkukuh rantaian logistik negeri.
“Institusi pendidikan dan latihan teknikal juga dipersiapkan bagi melahirkan tenaga kerja mahir untuk mengisi peluang pekerjaan baharu yang bakal terhasil melalui pembangunan ECRL dan TOD.
“Kita mahu rakyat menjadi penerima manfaat utama. Dengan struktur tadbir urus TOD di setiap daerah terlibat, kita akan pastikan pembangunan berjalan secara tersusun, bertanggungjawab dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, operasi ECRL kelak akan memberi lonjakan baharu kepada ekonomi negeri, termasuk pengurangan kadar pengangguran yang kini berada pada 2.9 peratus bagi suku ketiga 2025.
“Dengan wujudnya ECRL, kami yakin lebih banyak pelaburan swasta akan masuk ke Terengganu. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), jumlah pelaburan dijangka melepasi RM13.7 bilion yang dicapai sepanjang RMK12,” katanya. – UTUSAN










