KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) menyasarkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memulakan operasi komersial pada pertengahan Disember ini, kira-kira sebulan lebih awal daripada jadual asal pada Januari 2027.
Perancangan itu selaras dengan permintaan Kementerian Pengangkutan supaya perkhidmatan rel berkenaan dapat mula dinikmati pengguna ketika musim cuti sekolah pada hujung tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, sasaran tersebut diyakini mampu dicapai berdasarkan tahap kemajuan Fasa Satu ECRL membabitkan jajaran Kota Bharu-Gombak yang kini hampir siap sepenuhnya.
Katanya, setakat September lalu, kemajuan fasa berkenaan mencapai 98.16 peratus, sekali gus memberi keyakinan kepada MRL untuk merealisasikan sasaran operasi pada pertengahan Disember ini.
“Kita telah memendekkan tempoh pelaksanaan, tetapi bukan standard dan keselamatan. Setiap peringkat, daripada proses penyerahan sehingga pelaksanaan Fault-Free Run (FFR), dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan.
“Kami bekerja dengan lebih intensif dan cekap, namun ECRL hanya akan dibuka apabila ia selamat, boleh dipercayai serta bersedia untuk membawa penumpang dan barangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Pengarang Berhubung Kesiapsiagaan Operasi ECRL bersama media arus perdana di Hotel Sunway Putra, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Darwis berkata, keyakinan itu turut disokong keputusan positif daripada ujian integrasi sistem rangkaian ECRL yang melibatkan sistem semboyan, komunikasi, bekalan kuasa tarikan dan Sistem Katenari Atas (OCS).
Katanya, kemajuan dalam fasa pengujian dan pentauliahan juga membolehkan FFR melibatkan Electric Multiple Unit (EMU) bagi perkhidmatan penumpang serta Electric Locomotive (E-Loco) bagi perkhidmatan kargo dimulakan bulan ini, lebih awal daripada jadual asal pada November.
“Pada masa sama, kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) komited untuk menyiapkan serta menyerahkan secara rasmi Fasa Satu ECRL kepada MRL menjelang pertengahan bulan ini.
“Fasa berkenaan merangkumi jajaran utama, stesen, bangunan dan tapak kerja ECRL dari Kota Bharu ke Gombak,” katanya.
Darwis berkata, Tren Pemeriksaan Komprehensif (CIT) ECRL baru-baru ini berjaya melengkapkan perjalanan tanpa henti sejauh 519 kilometer dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh tiga jam 19 minit pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam (km/j).
Katanya, pencapaian itu mengesahkan keupayaan ECRL menyediakan perkhidmatan ekspres bagi laluan Gombak-KotaSAS-Kuala Terengganu-Kota Bharu dalam tempoh kurang empat jam.
“Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, rangkaian rel elektrik ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor serta menghubungkan bandar, pusat perindustrian, pelabuhan dan zon pelancongan di sepanjang laluannya,” katanya. – UTUSAN











