GOMBAK: Seorang penduduk Taman Mutiara Gombak 2 memfailkan writ saman dan tuntutan berjumlah RM1,332,503.00 terhadap pemaju projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) setelah mendakwa projek berskala besar itu diuruskan tanpa langkah mitigasi yang mencukupi sehingga menjejaskan keselamatan dan nilai hartanah miliknya.
Saman itu difailkan terhadap tiga pihak sebagai defendan iaitu China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC), Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Mangsa, Hishamuddin Jumat, 54, berkata, jumlah RM1.33 juta itu bukan angka yang sengaja diadakan sebaliknya bersandarkan kepada bukti nyata dan penilaian teknikal daripada pakar bebas bertauliah yang terpaksa dilantik sendiri oleh mereka.
“Kami menuntut ganti rugi khas ini bagi menampung kos pembaikan struktur bangunan yang rosak merangkumi keretakan kritikal pada dinding, lantai, tiang, siling dan bahagian-bahagian lain hartanah yang akan dikemukakan buktinya secara terperinci semasa perbicaraan kelak.
“Tuntutan ini bukan sekadar soal kerosakan kosmetik atau fizikal luaran bangunan tetapi melibatkan soal maruah dan keselamatan nyawa keluarga serta komuniti sekeliling.
“Kami hidup dalam ketakutan kerana pembinaan ini dibuat di atas cerun bukit yang tidak diselia dengan betul dan berada terlalu hampir dengan perimeter rumah,” katanya semasa sidang media di Taman Mutiara Gombak 2 hari ini.
Menurutnya lagi, tindakan undang-undang diambil sebagai langkah terakhir selepas segala aduan, surat-menyurat dan rayuan rasmi yang dikemukakan kepada pihak berkuasa serta pemaju sejak awal tahun 2024 tidak mendapat maklum balas daripada pihak berkaitan.
Mengulas lanjut, Hishamuddin menyatakan kekesalan terhadap kegagalan pihak pemaju melaksanakan kajian pra-pembinaan seperti kajian keadaan bangunan yang hanya dilakukan selepas desakan dan aduan bertubi-tubi dibuat oleh penduduk pada Februari 2024.
Lebih membimbangkan, Laporan Kajian Geologi Kejuruteraan menunjukkan bahawa kerja-kerja pembinaan itu telah mencetuskan gegaran melampau selain mengakibatkan takungan air yang tinggi di dalam cerun bukit di belakang rumah sehingga menyebabkan struktur utama kediaman terjejas teruk.
“Saya telah mengambil inisiatif sendiri dengan melantik seorang Pakar Geologi dari UKM pada Ogos 2024 untuk membuat penyiasatan tapak.
“Laporan teknikal itu telah pun diserahkan kepada MPS pada Disember 2024 yang kemudiannya membawa kepada lawatan tapak oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama CCC pada Januari 2025.
“Pihak CCC ketika itu meminta tempoh sebulan untuk kajian susulan, namun sehingga Mac 2025, tiada kajian yang dilakukan. MRL sebaliknya mengeluarkan surat menyatakan tiada kajian lanjut perlu dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, dia sekali lagi membiayai kajian siasatan tanah dan laporan geoteknikal yang lebih mendalam dengan hasil laporan mengesahkan potensi runtuhan cerun adalah sangat besar.
“Hasil laporan siasatan tanah dan geoteknikal kedua pada Mac 2025 juga menyatakan terdapat potensi tanah runtuh berlaku yang dapat menghempap kediamannya dan mampu meruntuhkan landasan kereta api ECRL itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Hishamuddin turut berkata, pihaknya telah mengemukakan surat rayuan kepada Perdana Menteri, Menteri Pengangkutan dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, namun tiada maklum balas konkrit diterima.
“Kami telah menerima respons bertulis daripada Menteri Besar Selangor dan Menteri Kerja Raya, namun pihak mereka hanya sekadar merujuk semula kes itu kepada MRL dan CCC yang akhirnya menemui jalan buntu.
“Saya bekas tentera dan pernah terlibat dalam operasi menyelamat tragedi runtuhan Bukit Antarabangsa pada 2007.
“Saya tahu bagaimana rumah banglo boleh lenyap sekelip mata. Jangan tunggu nasi sudah menjadi bubur, baru semua pihak hendak tuduh bencana alam sedangkan perkara ini berpunca daripada kecuaian mitigasi,” katanya. – UTUSAN










