Curi kabel antara punca utama gangguan perkhidmatan rel

Curi kabel antara punca utama gangguan perkhidmatan rel

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kecurian kabel dikenal pasti sebagai antara punca gangguan perkhidmatan rel, selain faktor teknikal dan cuaca.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun gangguan perkhidmatan masih berlaku, dakwaan bahawa masalah tersebut menjadi semakin tinggi adalah tidak tepat berdasarkan data dan statistik yang direkodkan.

Menurutnya, jumlah gangguan perkhidmatan rel, termasuk di bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menunjukkan trend penurunan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Kita tidak menafikan gangguan perkhidmatan masih berlaku, tetapi untuk mengatakan masalah  itu menjadi lebih teruk, dari segi angka adalah tidak tepat. Dari segi statistik, jumlah gangguan telah menurun dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 16 gangguan direkodkan, namun waktu berlakunya masalah perkhidmatan itu tidak dapat dikawal kerana melibatkan faktor teknikal yang sukar dijangka.

“Gangguan teknikal ini tidak boleh dikawal dan boleh berlaku pada waktu puncak atau bukan waktu puncak. Sudah tentu jika berlaku pada waktu puncak, kesannya lebih besar kerana ramai pengguna terlibat,” katanya selepas sesi pembentangan laporan prestasi 2025 dan pelan 2026 Prasarana di sini hari ini.

Anthony menjelaskan, pelbagai punca gangguan direkodkan termasuk kerosakan mekanikal, kegagalan sistem serta gangguan di luar jangkaan yang tidak dapat dielakkan.

“Antara yang paling membimbangkan ialah kes kecurian kabel yang memberi kesan langsung kepada operasi tren.

“Apabila kabel dipotong oleh pencuri, sistem isyarat akan terjejas. Sistem tidak dapat berhubung dengan pusat kawalan operasi (OCC), menyebabkan tren tidak boleh bergerak demi faktor keselamatan.

“Oleh sebab itu, apabila berlaku gangguan kabel, tren akan berhenti serta-merta. Itu bukan kegagalan sistem, tetapi reka bentuk keselamatan bagi melindungi penumpang,” katanya.

Selain kecurian kabel, beliau berkata gangguan turut berpunca daripada cuaca buruk seperti hujan lebat, khususnya bagi laluan rel bertingkat seperti monorel dan LRT.

“Hujan lebat boleh menyebabkan dahan pokok tumbang ke atas landasan. Apabila ada objek di hadapan tren, sistem akan menghentikan pergerakan secara automatik bagi mengelakkan kemalangan,” katanya.

“Pernah berlaku insiden lain melibatkan sepanduk papan iklan yang tercabut akibat angin kencang dan jatuh ke atas landasan, sekali gus menyebabkan gangguan operasi.

“Dalam situasi sebegini, penumpang mungkin tidak mengetahui punca sebenar gangguan. Mereka hanya tahu tren tidak bergerak dan secara semula jadi menyalahkan operator.

“Kita bukan mahu mencari alasan, tetapi mahu jelaskan bahawa Prasarana sentiasa berusaha menambah baik perkara di bawah kawalan mereka, termasuk penyelenggaraan dan pengurusan aset,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah yang sedang dilaksanakan ialah pendekatan predictive maintenance bagi mengurangkan risiko gangguan teknikal, termasuk penggantian alat ganti mengikut jangka hayat sistem.

Katanya, kerajaan dan Prasarana telah merangka pelbagai perancangan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan rel pada masa hadapan.

“Penambahan 26 set tren baharu bagi laluan Kelana Jaya  telah dianugerahkan kepada ZELC-CRM-CLM Consurtium (CRRC), selain tiga set tren tambahan bagi monorel serta program baik pulih (overhaul) melibatkan 50 set tren sedia ada.

“Proses perolehan telah dimulakan dan tender telah dilengkapkan, namun penghantaran tren baharu memerlukan tempoh sekitar tiga tahun sebelum ia boleh digunakan sepenuhnya,” katanya.

“Segala perancangan tersebut bertujuan memastikan perkhidmatan rel negara terus selamat, boleh dipercayai dan memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN