MUAR: Tindakan tiga lelaki mencuri kabel milik Telekom membawa padah apabila dua kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum ketiga-tiganya diberkas polis di kawasan kebun kelapa sawit, di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 pada pukul 2.51 pagi memaklumkan berlaku aktiviti mencurigakan berhampiran Jambatan Parit Kassim, Jalan Temenggong Ahmad, Parit Jawa.
Susulan maklumat itu, katanya, anggota rondaan Balai Polis Parit Jawa digerakkan ke lokasi dan mengesan dua kenderaan dipercayai digunakan suspek.
“Sebaik sahaj menyedari kehadiran polis, ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan menaiki dua kenderaan namun mereka terbabas dan masuk ke dalam parit. Seorang suspek lelaki berusia 35 tahun ditahan di tempat kejadian manakala dua lagi meloloskan diri sebelum diberkas pada hari sama di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Raiz Mukhliz, ketiga-tiga suspek ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Dalam operasi itu, polis merampas sebuah Mitsubishi Triton dan Honda City Hatchback, 86 batang kabel pelbagai ukuran, telefon bimbit serta peralatan memotong kabel. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN










