PETALING JAYA: Sebanyak 256 tangkapan dibuat oleh polis berhubung 276 kes kecurian kabel di ibu negara bagi tempoh 2025 sehingga Mei lalu dengan membabitkan kerugian RM629,000.
Daripada jumlah itu, sebanyak 205 laporan telah diterima sepanjang tahun 2025 dengan tangkapan 171 orang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pecahan kes antaranya melibatkan kecurian kabel telekomunikasi sebanyak 103 tangkapan dan 28 kecurian kabel rel.
Katanya, sebanyak 193 kertas siasatan telah dibuka manakala 60 kes telah dituduh di mahkamah.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu pula, sebanyak 71 laporan kes kecurian kabel diterima dengan 85 tangkapan dibuat.
“Ia melibatkan kecurian kabel telekomunikasi (50 tangkapan), kabel rel (17 tangkapan) dan lain-lain kecurian kabel (18 tangkapan),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, dalam tempoh tersebut, sebanyak 67 kertas siasatan dibuka dan 12 kes telah dituduh di mahkamah selain meramps 357 unit barang kes.
“Kes-kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Selain itu, ia turut disiasat di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000, penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan merosakkan atau mengganggu kemudahan rangkaian,” jelasnya.
Tambah Fadil, kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, malah mengganggu perkhidmatan komunikasi, operasi perniagaan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Tegasnya, ia turut meningkatkan kos penyelenggaraan dan boleh mendatangkan risiko keselamatan seperti renjatan elektrik dan kebakaran.
“Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan jenayah ini kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan tersebut.
“Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.
Fadil menegaskan komitmen berterusan Polis Kuala Lumpur dalam membanteras jenayah kecurian kabel di sekitar ibu negara melalui tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas. – UTUSAN










