Kes curi kabel elektrik di Selangor semakin serius - Izham

Kes curi kabel elektrik di Selangor semakin serius – Izham

Curi kabel
IZHAM Hashim bercakap ketika Majlis Penyerahan Kenderaan dan Jentera Baharu JKR Selangor serta Majlis Surat Setuju Terima (SST) bagi Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan-Jalan Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kes kecurian kabel elektrik di seluruh negeri ini melibatkan lampu-lampu jalan didakwa semakin membimbangkan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, peningkatan jenayah sedemikian menyebabkan kerugian perlu ditanggung kerajaan mencecah sehingga jutaan ringgit.

“Kita yakin ada sindiket tetapi, tidak ada bukti cuma keyakinan kita mungkin ada sindiket terlibat kecurian kabel. Kita tengah kumpul maklumat bukan sahaja Jabatan Kerja Raya (JKR), tetapi juga Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa tempatan.

“Kita akan buat pemakluman selepas bincang dengan pihak keselamatan dan pemakluman angka yang perolehi daripada perbincangan dengan pihak terlibat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi kontrak Jangka Panjang (KJP) penyelenggaraan jalan negeri 2026-2030 dan penyerahan jentera kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, hari ini.

Jelasnya, kini kerajaan negeri membekalkan lampu jalan dijana kuasa solar bagi mengurangkan kerugian akibat kecurian kabel.

“Kita akan ada kerjasama dengan pihak keselamatan, polis bagaimana hendak tangani keadaan ini sebelum menjadi lebih serius. Salah satu langkah kita guna lampu solar. Itu antara langkah tambahan kita ambil untuk kurangkan kecurian kabel,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata, wujud keperluan mendesak untuk meminda hukuman bagi kesalahan mencuri di bawah Kanun Keseksaan yang dilihat tidak setimpal kerugian dialami, terutama membabitkan kes kecurian kabel.

Katanya, kes kecurian kabel bukan sahaja melibatkan kerugian tetapi juga keselamatan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN