Asasi tanpa sijil: Kekeliruan yang perlu diperbetulkan

Asasi tanpa sijil: Kekeliruan yang perlu diperbetulkan

PROGRAM matrikulasi mengeluarkan sijil matrikulasi secara rasmi. Namun, berbeza dengan pelajar Program Asasi,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI waris kepada pelajar yang telah menamatkan Program Asasi di bawah universiti awam, saya terpanggil untuk mengetengahkan satu isu dasar yang semakin menimbulkan kekeliruan dan kesulitan kepada pelajar serta ibu bapa, khususnya berkaitan ketiadaan sijil tamat pengajian bagi Program Asasi.

Program matrikulasi mengeluarkan sijil matrikulasi secara rasmi. Namun, berbeza dengan pelajar Program Asasi, mereka tidak dibekalkan dengan sijil tamat pengajian atau skrol. Sebaliknya, hanya transkrip akademik dikeluarkan sebagai bukti tamat program.

Isu timbul apabila transkrip akademik sering kali tidak diterima sebagai dokumen sokongan rasmi dalam urusan tertentu, termasuk permohonan pekerjaan, program latihan industri, skim perkhidmatan sementara seperti MySTEP, atau pengesahan kelayakan oleh agensi luar universiti.

Sedangkan mereka telah melalui proses pengajian yang sah dan diiktiraf oleh institusi awam. Terdapat pelajar yang dimaklumkan bahawa tiada sijil Asasi akan dikeluarkan kerana program tersebut dianggap sebagai laluan dalaman atau pra-ijazah.

Hakikatnya, bukan semua pelajar Asasi terus menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam tempoh segera dan ada yang memerlukan dokumen rasmi sebagai bukti kelayakan sementara.

Sehubungan itu, pihak kerajaan wajar meneliti semula dasar ini dengan lebih menyeluruh.

Sekurang-kurangnya, satu bentuk sijil pengesahan tamat Program Asasi yang standard dan seragam di peringkat nasional boleh diperkenalkan bagi mengelakkan kekeliruan serta ketidakadilan terhadap pelajar.

Pendidikan seharusnya memudahkan urusan masa depan pelajar, bukannya menambah beban birokrasi.

Isu sijil Asasi ini wajar diberi perhatian serius demi kejelasan dasar dan kebajikan pelajar. – UTUSAN

WARIS PELAJAR
Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN