Pas umum Pengerusi PN Sabtu

Pas umum Pengerusi PN Sabtu

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pas sudah mempunyai calon untuk mengisi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan keputusan muktamad akan ditentukan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi gabungan itu Sabtu ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, calon berkenaan dikenal pasti hasil rundingan bersama semua parti komponen dalam PN bagi memastikan keputusan dicapai secara konsensus.

Katanya, pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas mesyua­rat berkenaan sebagai menghormati proses dan persefahaman dalam gabungan tersebut.

“InsyaAllah, calon telah ada dan kita akan bermesyuarat pada 21 hari bulan ini. Selepas persetujuan dicapai, kita akan umumkan secara rasmi. Buat masa ini biarlah ia menjadi rahsia,” katanya kepada Utusan Malaysia sewaktu ditemui pada Ceramah Mega di Dataran Markas Pas kawasan Masjid Tinggi, di sini semalam.

Idris berkata, Pas tidak bergantung kepada kelemahan pihak lawan untuk meraih sokongan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan dalaman parti serta jentera sedia ada.

Katanya, kekuatan organisasi dan kesatuan dalam kalangan ahli menjadi asas penting bagi memastikan kestabilan serta kelangsungan perjuangan politik parti.

Mengenai kemungkinan kerjasama politik lebih luas terma­suk cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama UMNO, Idris berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.

“Pas sentiasa terbuka kepada perpaduan politik yang bersifat strategik dan akan mempertimbangkan setiap keputusan berdasarkan kepentingan parti, orang Melayu dan umat Islam. Perpaduan parti-parti Melayu dominan penting bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN