Pengurus syarikat rugi RM137,600 ditipu tender projek tidak wujud

Pengurus syarikat rugi RM137,600 ditipu tender projek tidak wujud

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang pengurus syarikat bukan sahaja gagal mendapatkan tender projek malah mengalami kerugian sebanyak RM137,600 setelah diperdaya berhubung pembekalan mesin janakuasa elektrik untuk institusi latihan di Tangkak.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, polis menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 32 tahun berhubung kejadian, semalam.

“Syarikatnya bersetuju membeli enam unit mesin janakuasa mudah alih bersama empat unit bateri dengan jumlah keseluruhan bernilai RM137,600 selepas tertarik dengan tawaran tender berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat tiga transaksi pembayaran ke dalam satu akaun bank tempatan sejak Selasa hingga Jumaat lalu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Seng Lee, mangsa bagaimanapun mula berasa curiga sebelum bertindak menghubungi Institut Latihan Perindustrian Tangkak bagi mendapatkan pengesahan lanjut berhubung tender tersebut.

“Hasil semakan mendapati tiada sebarang tender dikeluarkan bagi pembekalan mesin janakuasa dan kabel elektrik seperti yang didakwa suspek berkenaan menyebabkannya membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN