KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membongkar taktik licik warga asing ‘meminjam’ lesen memandu milik rakyat tempatan untuk mengelak tindakan undang-undang hasil operasi penguatkuasaan yang dijalankan sebelum ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, semua individu terlibat adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Katanya, kesalahan itu direkodkan di seluruh negeri termasuk Kelantan dan Terengganu.
“Susulan itu, JPJ) bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pemandu warga asing yang menggunakan lesen warga tempatan,” katanya ke semasa Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini malam tadi.
Sementara itu, beliau berkata, dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula 9 Februari lalu, penguatkuasaan turut memberi penekanan kepada penunggang motosikal yang paling berisiko terlibat dalam kemalangan.
Katanya, sehingga semalam, sebanyak 41,332 motosikal diperiksa, dengan 7,414 notis P (22) dikeluarkan dan 103 motosikal disita. – UTUSAN










