RANCANGAN Tanah Kelompok (RTK) Sungai Mentuang terletak di Mukim Perak, Daerah Temerloh, melibatkan kira-kira 400 peserta yang masing-masing dianugerahkan satu ekar tanah Kategori Pertanian bagi tujuan tanaman dusun.
Keseluruhan keluasan skim ini melebihi 400 ekar. Hampir semua geran hak milik tanah didaftarkan pada 2022, walaupun proses pemilihan peserta dibuat beberapa tahun lebih awal.
Keadaan ini menyebabkan ramai penduduk awam, khususnya warga Daerah Temerloh, tidak berpeluang menerima tanah di bawah skim RTK ini.
Namun, selepas hampir tiga tahun, masih terdapat banyak lot RTK yang belum dimajukan. Walaupun cukai tanah tahunan hanya RM10 seekar, kewajipan pembayaran tetap perlu dipatuhi sebagai hasil kepada kerajaan negeri.
Antara punca utama kelewatan pembangunan ialah faktor lokasi. RTK Sungai Mentuang terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari Temerloh dan sekitar 2km dari jalan utama Temerloh-Bera, menjadikannya agak jauh bagi peserta yang menetap di Temerloh, Mentakab dan kawasan sekitarnya.
Keadaan ini menyukarkan mereka untuk mengusahakan tanah secara individu.
Latar belakang peserta yang terdiri daripada penjawat awam, pesara dan penduduk kampung berhampiran turut mempengaruhi tahap pembangunan.
Ramai peserta berusia lebih 50 tahun, malah ada yang melebihi 60 tahun, menyebabkan kekangan tenaga dan keupayaan fizikal untuk membersihkan serta mengusahakan tanah yang masih berhutan dan berdepan pelbagai cabaran seperti kos dan ancaman musuh tanaman.
Sebahagian peserta tidak mengetahui lokasi sebenar lot tanah masing-masing. Kebiasaannya, kedudukan lot hanya dapat dilihat melalui pelan susun atur keseluruhan RTK tanpa tanda sempadan kekal di lapangan kerana proses ukur halus belum diselesaikan sepenuhnya.
Keadaan ini menyukarkan peserta mengenal pasti tanah mereka.
Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Daerah serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) disaran memainkan peranan lebih aktif dengan menyediakan pelan tanah berautoriti serta memudah cara pertemuan antara peserta dan agensi berminat.
Kerjasama dengan pihak swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga wajar digalakkan bagi mengelakkan tanah RTK terus terbiar dan memastikan manfaat skim ini benar-benar dapat direalisasikan. – UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang










