Di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dapat dilihat pelbagai transformasi dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan warga pendidik dan murid di seluruh negara.
Usaha ini jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap realiti sebenar di lapangan, khususnya beban tugas guru yang semakin kompleks.
Terbaharu, pengumuman pemansuhan Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) pastinya disambut dengan senyuman lega oleh guru-guru kerana mengurangkan tekanan dokumentasi dan memberi ruang kepada mereka untuk lebih fokus kepada pengajaran dan pembelajaran.
Namun, dalam arus pembaharuan yang positif ini, masih terdapat satu perkara yang wajar diberi perhatian serius, iaitu isu elaun tanggungjawab (ETJ). Elaun ini tidak diberikan secara menyeluruh kepada semua Guru Penolong Kanan (GPK) hakiki di sekolah rendah.
Contoh, GPK Hal Ehwal Murid (HEM) yang dilantik secara hakiki di sekolah kurang murid masih tidak menikmati ETJ seperti rakan sejawat di sekolah lain. Persoalannya, mengapakah wujud perbezaan ini sedangkan tanggungjawab yang dipikul tetap berat dan mencabar?
Hakikatnya, guru yang dilantik secara hakiki sering berdepan pelbagai cabaran, termasuk keperluan bertukar ke sekolah yang lebih jauh daripada tempat asal. Ada yang terpaksa meninggalkan zon selesa, berulang-alik setiap hari dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu demi memikul amanah sebagai pemimpin pertengahan sekolah.
Walaupun ada juga yang bertukar ke sekolah berhampiran, hakikatnya mereka memikul jawatan secara rasmi dan bertanggungjawab sepenuhnya tidak boleh dinafikan.
Nilai ETJ mungkin tidak besar, namun maknanya cukup signifikan. Ini kerana elaun berkenaan bukan sekadar imbuhan kewangan tetapi simbol penghargaan terhadap amanah dan beban tugas yang dipikul.
Pemberian ETJ secara adil mampu menyuntik motivasi, menggalakkan lebih ramai guru tampil memikul tanggungjawab sebagai GPK serta membina budaya kepimpinan yang lebih positif di sekolah.
Jika transformasi pendidikan mahu benar-benar menyentuh akar umbi, keadilan dalam pengiktirafan dan kebajikan, maka warga pendidik perlu diberi perhatian yang seimbang. Inilah masanya untuk memastikan setiap GPK hakiki, tanpa mengira jenis sekolah, dihargai secara saksama. – UTUSAN
CIKGU PENCEN
Jerantut, Pahang










