Rejab bulan mengaudit diri

Rejab bulan mengaudit diri

REJAB bukan sekadar bulan persediaan menuju Ramadan bahkan wajar difahami sebagai bulan muhasabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDATANGAN 1 Rejab 1447 Hijrah pada tahun 2025/2026 menjadi isyarat awal bulan Ramadan kian menghampiri. 

Namun, realitinya wujud perbezaan yang ketara antara mereka yang sekadar menyedari kehadiran bulan Rejab dan mereka yang benar-benar memanfaatkan peluang ini untuk melakukan audit diri serta memperbaiki kelemahan yang ada.

Hakikatnya, Rejab bukan sekadar bulan persediaan menuju Ramadan sebaliknya wajar difahami sebagai bulan muhasabah sosial khususnya apabila masyarakat hari ini berdepan dengan pelbagai krisis nilai yang semakin membimbangkan.

Usaha memperbaiki keadaan ini tidak wajar diserahkan kepada pihak tertentu semata-mata sebaliknya menuntut kesedaran dan peranan setiap individu. 

Proses mengaudit diri merupakan langkah awal yang signifikan dalam mencegah kerosakan yang lebih besar, selaras dengan peringatan Allah SWT dalam Surah al-Ra‘d ayat 11 bahawa perubahan hanya akan berlaku apabila manusia sendiri berusaha mengubah keadaan diri mereka.

Dalam konteks ini, susunan bulan-bulan mulia membawa mesej yang amat signifikan. Rejab sebagai bulan audit diri, Syaaban sebagai bulan latihan dan Ramadan sebagai medan perjuangan sebenar. 

Urutan ini menunjukkan perubahan hakiki tidak berlaku secara mendadak sebaliknya memerlukan persediaan yang berperingkat dan berterusan. Allah SWT seolah-olah memberi isyarat agar persiapan menuju Ramadan dimulakan lebih awal melalui tiga bulan ini.

Perubahan bermula dengan diri sendiri. Luangkan masa untuk bermuhasabah, merenung dosa-dosa yang telah Allah SWT tutupi aibnya serta memperbaharui tekad untuk menjadi insan yang lebih baik. 

Dua bulan terawal ini merupakan peluang berharga yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya untuk membuat persediaan rohani dan akhlak. 

Rejab berfungsi sebagai bulan kesedaran dan audit diri manakala Syaaban pula sebagai bulan latihan dan pengukuhan amalan sebelum tibanya Ramadan sebagai medan perjuangan yang utama. 

Justeru, tempoh ini wajar dimanfaatkan dengan memperbanyakkan doa dan munajat agar diberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan di samping melazimi amalan seperti puasa sunat, mengganti puasa yang tertinggal, memperbanyakkan bacaan al-Quran, menjauhi perkara yang melalaikan serta memberi tumpuan kepada penyucian hati. 

Kesemua amalan ini merupakan latihan awal untuk menjinakkan jiwa agar lebih bersedia menyambut Ramadan.

Oleh itu, bulan Rejab wajar disambut dengan rasa gembira dan penuh pengharapan sebagai permulaan untuk membina kesedaran serta sikap berjaga-jaga terhadap keadaan diri. 

Rejab bukan sekadar bulan yang berlalu seperti bulan-bulan lain tetapi merupakan embangkitkan kesedaran hati untuk berubah dan kembali kepada Allah SWT. 

Justeru, marilah kita menyambut kedatangan bulan Rejab ini dengan hati yang seronok dan disertai tekad untuk melakukan pembaikan diri.

Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan petunjuk dan kekuatan kepada kita untuk benar-benar mengaudit diri pada bulan Rejab ini sebelum tibanya Ramadan. 

Jadikan Rejab sebagai titik mula perubahan yang bermakna, bukan sekadar bulan yang berlalu tanpa meninggalkan kesan dalam kehidupan.-UTUSAN

 

NUR FAEZAH MUSTHAPAR

Pensyarah di Pusat Sains Kemanusiaan, 

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×