LAPORAN Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 menunjukkan Malaysia mencapai pencapaian penting iaitu kadar miskin tegar hanya 0.09 peratus, turun daripada 0.2 peratus pada 2022.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyifatkan ini sebagai bukti keberkesanan pelbagai inisiatif meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan rakyat, sambil mengingatkan usaha membasmi kemiskinan mesti melangkaui bantuan sementara.
Namun, di sebalik angka yang menggalakkan, realiti kehidupan masih mencabar. Ramai keluarga B40 dan bekas miskin tegar melaporkan hidup mereka masih ‘cukup-cukup makan’. Pendapatan mungkin melepasi garis miskin tegar tetapi masih tidak stabil dan mudah tergugat oleh kejutan kecil seperti sakit ahli keluarga, kenderaan rosak, musim jualan perlahan atau kenaikan harga barang mendadak.
Struktur pekerjaan turut memberi impak. Semakin ramai golongan B40 bergantung kepada pekerjaan tidak formal dan gig seperti pemandu e-hailing, penghantar makanan atau kerja sambilan dengan pendapatan naik turun mengikut musim dan permintaan, tanpa jaminan gaji tetap atau perlindungan sosial. Satu bulan yang ‘tidak menjadi’ sudah cukup untuk mengoyakkan bajet isi rumah.
Di sinilah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) memainkan peranan penting. Dilancarkan pada Februari 2023, IPR membantu miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan mampan melalui tiga komponen iaitu INTAN (usahawan tani), INSAN (usahawan makanan) dan IKHSAN (operator perkhidmatan).
Setakat Julai 2024, lebih 4,500 individu menyertai program ini, dengan lebih 2,000 peserta berjaya meningkatkan pendapatan bulanan, termasuk jualan INSAN purata RM14,000 sebulan bagi peserta tertentu.
Namun, persoalan utama ialah kestabilan pendapatan ini. Ramai Ketua Isi Rumah masih menanggung komitmen berat seperti sewa rumah, hutang motosikal, pinjaman peribadi, belanja sekolah dan kos makanan harian.
Tanpa simpanan kecemasan atau perlindungan sosial mencukupi, satu kejutan kecil boleh memaksa mereka kembali berhutang dan mengancam kestabilan kewangan.
Ekonomi digital pula membuka peluang dan cabaran serentak. Peserta yang celik digital boleh mengurus jualan dengan lebih mudah, manakala mereka yang kurang mahir berisiko menjadi ‘miskin digital’. Mereka tertinggal daripada peluang ekonomi baharu.
Oleh itu, fokus perlu beralih daripada ‘berapa ramai keluar miskin tegar?’ kepada ‘sejauh mana pendapatan mereka stabil dan berdaya tahan?’
Program seperti IPR perlu diperkukuh melalui literasi kewangan dan digital berfasa, sokongan lapangan berterusan dan pemantauan tidak hanya jumlah peserta tetapi juga kestabilan pendapatan, simpanan dan keupayaan menghadapi kejutan.
Secara kesimpulan, Malaysia hampir menghapuskan miskin tegar dari segi statistik. Cabaran sebenar kini ialah memastikan pendapatan rakyat cukup kukuh untuk menghadapi kejutan, membina masa hadapan dan memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi.
Kejayaan dasar diukur bukan sekadar nombor dalam laporan tetapi pada kehidupan seharian keluarga yang pernah berada di bawah.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. BADRUL ISAN & PROFESOR MADYA DR. SITI SARA IBRAHIM
Universiti Teknologi Mara (UiTM)









