Kejayaan kerja bukan sekadar angka tapi amanah

Kejayaan kerja bukan sekadar angka tapi amanah

INTEGRITI turut berkaitan kejujuran diri, menepati masa, menunaikan janji, tidak menuntut tuntutan palsu, menghormati kemudahan pejabat dan mematuhi waktu kerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kehidupan moden yang serba pantas, kejayaan sering diukur melalui angka, laporan dan petunjuk prestasi utama (KPI).

Setiap organisasi menilai prestasi berdasarkan sasaran dicapai, produktiviti meningkat dan keberkesanan pegawai.

Namun, dalam keghairahan mengejar KPI duniawi, ramai terlupa satu penilaian yang lebih penting dan kekal iaitu di sisi Allah SWT. Nilai seperti keikhlasan, amanah dan ketakwaan tidak tercatat dalam laporan prestasi tetapi itulah ukuran sebenar kejayaan.

KPI di sisi Allah menuntut setiap Muslim menilai semula niat dan tujuan bekerja. Segala tindakan dan keputusan perlu berpaksikan tanggungjawab kepada-Nya, bukan sekadar memenuhi kehendak manusia. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat.” Hadis ini mengingatkan tugasan sekecil mana pun akan bernilai besar jika dilakukan dengan niat ikhlas.

Integriti dalam kerja bukan hanya tentang isu besar seperti rasuah atau salah guna kuasa. Ia bermula daripada perkara kecil yang mencerminkan kejujuran diri, menepati masa, menunaikan janji, tidak menuntut tuntutan palsu, menghormati kemudahan pejabat dan mematuhi waktu kerja. Setiap minit yang digunakan dengan betul menjadi ibadah di sisi Allah.

Individu berintegriti bekerja dengan itqan (kesempurnaan) dan istiqamah (konsisten), tidak menunggu pujian manusia kerana mereka sedar setiap usaha diperhatikan Tuhan.

Dalam organisasi, integriti perlu hidup dalam tindakan harian, bukan sekadar dasar atau piagam. Pemimpin harus menjadi contoh amanah, telus dan disiplin, manakala pekerja menjiwai tanggungjawab sebagai ibadah. Gabungan ini membentuk suasana kerja produktif, profesional dan diberkati.

Kerja dengan kesungguhan dan kejujuran bukan sahaja menyelesaikan tugas tetapi juga memberi manfaat kepada orang lain, menjauhkan diri daripada penyelewengan dan menzahirkan syukur serta tawakal atas hasil usaha.

Budaya kerja berasaskan nilai Islam seperti amanah, adil, telus dan tanggungjawab perlu dipupuk secara berterusan agar seseorang bekerja bukan kerana arahan atau pemantauan tetapi kerana kesedaran setiap tugasan adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Kejayaan sebenar bukan diukur melalui angka keuntungan, pangkat atau pengiktirafan semata-mata tetapi keredaan Allah, itulah ukuran yang paling penting, yang mesti menjadi keutamaan setiap Muslim dalam apa jua bidang kerja.-UTUSAN

NUR FARIHAH MOHD. FADULLAH SAHIMI
Penolong Pendaftar Kanan,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×