SALAH satu isu utama dalam sistem pendidikan ialah buku teks yang kurang menarik, bersifat statik dan tidak mesra generasi digital. Keadaan ini menyebabkan minat murid menurun, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah, malah prasekolah.
Justeru, pengenalan buku teks berteras kecerdasan buatan (AI) dengan elemen interaktif wajar dipertimbangkan secara serius.
Buku teks sedia ada kebanyakannya bersifat satu hala, teks dan gambar tanpa interaksi aktif. Pelajar hari ini pula terdedah kepada teknologi, visual bergerak dan pembelajaran pantas.
Buku teks berteras AI boleh menjadi tarikan utama dengan menyediakan kandungan interaktif seperti video pembelajaran, animasi, simulasi, serta latihan adaptif mengikut tahap kefahaman pelajar.
Penggunaan kod QR dalam buku teks membolehkan murid mengakses kandungan tambahan seperti penerangan video guru, kuiz interaktif, nota ringkas dan peta minda digital.
Bagi pelajar peperiksaan utama, buku teks AI boleh menyediakan skema jawapan berperingkat, contoh jawapan cemerlang, analisis soalan peperiksaan lepas, serta latihan berasaskan aras kesukaran. Ini membantu pelajar belajar secara kendiri dan berfokus.
Bagi peringkat prasekolah, buku teks AI boleh menampilkan elemen audio, permainan pembelajaran dan visual berwarna yang merangsang deria serta meningkatkan kemahiran asas seperti membaca, mengira, dan mengenal huruf.
Pendekatan ini selari dengan perkembangan kognitif kanak-kanak dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada kaedah hafalan semata-mata.
Negara maju seperti Singapura dan Korea Selatan telah mengintegrasikan pembelajaran digital dan interaktif dalam kurikulum sekolah, membuktikan bahawa teknologi dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran jika dirancang dengan baik.
Buku teks berteras AI bukan sekadar inovasi, tetapi satu keperluan dalam mendepani cabaran pendidikan moden. Kementerian Pendidikan disaran membangunkan buku teks yang lebih interaktif, inklusif dan mesra teknologi dengan kawalan kandungan yang beretika.
Langkah ini mampu meningkatkan minat murid, memperkukuh kefahaman dan melahirkan generasi pelajar yang bersedia menghadapi masa depan. – UTUSAN
SYED
Putrajaya










