Penceramah wajib jaga tertib kalamullah

Penceramah wajib jaga tertib kalamullah

SEMANGAT menyampaikan mesej kadang-kadang mengatasi kesedaran terhadap ketertiban bacaan dalam dunia dakwah moden.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CERAMAH dan kuliah agama di masjid sering diselitkan ayat al-Quran dan hadis untuk memperkukuh hujah dan memberi sokongan ilmiah.

Fenomena ini positif kerana menunjukkan al-Quran tetap menjadi rujukan utama dalam dakwah. Namun, persoalan penting timbul berkaitan cara bacaan dan sebutan ayat suci tersebut sama ada perlu dibaca mengikut tajwid dan makhraj tepat atau boleh diucapkan mengikut gaya pertuturan biasa?

Ayat al-Quran bukan sekadar teks biasa atau kata hikmah sebaliknya merupakan wahyu suci yang perlu dibaca dengan penuh adab. Firman Allah dalam surah al-Muzzammil, ayat 4 menekankan kepentingan membaca dengan tartil tanpa mengira tempat atau masa. Justeru, penceramah wajib menjaga adab, sebutan, gaya bacaan dan pematuhan hukum tajwid walaupun bacaan itu hanya sebahagian daripada ceramah.

Malangnya, dalam dunia dakwah moden, semangat menyampaikan mesej kadang-kadang mengatasi kesedaran terhadap ketertiban bacaan. Ramai penceramah membaca ayat al-Quran secara tergesa-gesa, tanpa memulakan dengan lafaz bismillah atau mengakhiri dengan sadaqallah al-Azim. Hal ini menjadikan ayat suci kelihatan seperti teks biasa dan kesalahan sebutan pun dinormalisasi.

Dalam penyampaian, penceramah perlu membezakan dua keadaan iaitu intonasi bebas ketika bercakap biasa tetapi nada dan sebutan ayat al-Quran mesti berubah kepada nada hormat.

Bacaan yang tepat dari segi makhraj dan tajwid wajib dijaga kerana kesalahan huruf atau baris boleh mengubah makna. Misalnya, ungkapan inna Allaha ma‘a as-sabirin sering diucapkan dalam ceramah motivasi tetapi sebutan yang salah boleh menjejaskan maknanya. Sensitiviti terhadap bunyi sebutan menunjukkan kualiti bacaan dan penghormatan terhadap kalam Allah.

Untuk menambahbaik keadaan ini, beberapa langkah wajar diambil. Institusi agama dan masyarakat perlu menyediakan latihan asas tajwid untuk penceramah dan khatib agar bacaan ayat al-Quran lebih teratur.

Kelas sebutan Arab penting bagi penceramah bukan Arab untuk melatih artikulasi huruf dan nada dengan tepat. Penekanan adab terhadap kalam Allah dalam silibus dakwah juga perlu diterapkan supaya setiap sebutan ayat dianggap sebagai ibadah, bukan sekadar gaya bahasa biasa.

Menyebut ayat al-Quran dalam ceramah bukan perkara kecil. Ia bukan sekadar menyelitkan teks suci tetapi menghidupkan kalam Allah di hadapan manusia. Bacaan ayat al-Quran mesti dilakukan dengan penuh adab, dimulakan dengan isti’azah dan basmalah serta disertai rasa hormat.

Dengan kefahaman ini, penceramah bukan sahaja menyampaikan mesej agama tetapi juga menzahirkan penghormatan kepada Allah SWT melalui setiap lafaz yang dibaca.-UTUSAN

DR. MUHAMMAD RIDHA ALI HUDDIN
Jabatan Bahasa Arab dan Bahasa-bahasa
Timur Tengah, Fakulti Bahasa dan
Linguistik, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×