Jangan biarkan orang lain yang tentukan hidup kita

Jangan biarkan orang lain yang tentukan hidup kita

NARATIF kolektif membentuk cara masyarakat menilai kejayaan, peranan sosial dan identiti individu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP masyarakat membentuk naratif kolektif yang mencerminkan nilai, kepercayaan dan harapan bersama. Naratif ini bukan sekadar cerita yang diulang dalam perbualan harian tetapi turut membentuk cara individu melihat diri sendiri dan orang lain.

Dalam sesetengah keadaan akan menentukan siapa yang dianggap berjaya, siapa patut dihormati dan siapa yang perlu dibetulkan. Harapan sosial bertindak sebagai penapis, menentukannya kisah mana yang diterima, ditolak atau disenyapkan dalam perjalanan hidup.

Naratif kolektif lahir daripada sejarah, budaya dan pengalaman bersama selain boleh menjadi sumber kekuatan apabila menyatukan masyarakat, memberi arah serta membimbing tindakan bersama.

Namun, apabila terlalu dikawal oleh harapan sosial yang jumud dan stigma, ia menindas suara berbeza dan mengehadkan potensi individu. Mereka yang tidak menepati naratif dominan dianggap ‘tidak sehaluan’ walaupun sekadar menjalani kehidupan mengikut keperluan dan pilihan sendiri.

Ironinya, masyarakat yang menilai kejayaan melalui pencapaian akademik sering mengabaikan pelajar berbakat dalam seni, vokasional dan teknikal. Naratif dominan menetapkan kejayaan melalui status profesional, gaji tinggi dan gaya hidup tertentu.

Akibatnya, pelajar kreatif atau mahir berkemahiran sering dianggap kurang berjaya, walaupun menyumbang secara signifikan kepada masyarakat. Potensi mereka dipendam, haluan diubah demi memenuhi harapan sosial dan bakat unik akhirnya hilang.

Naratif kolektif juga membentuk persepsi terhadap gender, usia dan status sosial. Wanita yang menunda perkahwinan demi kerjaya dilabel ‘tidak lengkap’ atau ‘terlalu memilih’.

Ibu bekerja sepenuh masa dipersoalkan keupayaannya menguruskan anak, sedangkan mereka menyeimbangkan tanggungjawab ekonomi dan keluarga. Warga emas yang aktif pula dipandang ‘tidak sesuai dengan usia’, walaupun sumbangan mereka penting.

Individu dewasa yang tidak membeli rumah dikritik ‘tiada wawasan’ walaupun keputusan itu berasaskan pengurusan risiko dan kelestarian kewangan jangka panjang.

Harapan sosial yang sempit menuntut individu menyesuaikan diri demi penerimaan masyarakat sering menimbulkan tekanan dalaman. Konflik identiti, tekanan emosi dan rasa terasing muncul apabila seseorang menyembunyikan sisi diri yang tidak selari dengan norma dominan.

Ketakutan terhadap perbezaan ini memperkukuh penolakan terhadap individu yang memilih cara hidup konvensional atau alternatif. Mereka dilabel pelik, melawan adat, tidak matang dan berhadapan tekanan untuk kembali menyesuaikan diri.

Setiap individu adalah penulis skrip kehidupan sendiri. Kebebasan memilih bukan menolak naratif masyarakat tetapi memberi hak untuk menyumbang kepada masyarakat dengan cara tersendiri dan bermakna.

Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk naratif inklusif. Pelajar perlu didedahkan kepada pelbagai bentuk pencapaian, memahami perbezaan adalah kekuatan dan membina pemikiran reflektif serta empatik.

Media pula harus mengetengahkan pelbagai cerita, termasuk suara yang selama ini terpinggir.

Melalui naratif kolektif yang lebih inklusif, masyarakat dapat menjadi lebih sejahtera, menghargai kepelbagaian dan memberi ruang bagi setiap individu mengekspresikan diri dengan jujur dan tulus.

Kisah hidup yang kita ulang bukan sekadar hiburan atau tradisi tetapi membentuk realiti sosial sebenar.

Memberi ruang bagi pelbagai naratif positif memastikan setiap individu dapat menjalani kehidupan dengan nilai, keyakinan dan makna sendiri, sambil menyumbang kepada kebaikan masyarakat secara menyeluruh. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. SITI SARAWATI JOHAR
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN