APABILA banjir mula surut dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah, ramai berasa lega kerana akhirnya dapat menilai kerosakan serta memulakan proses pembersihan. Namun, dalam keghairahan pulang, satu ancaman sering dipandang ringan, iaitu bahaya daripada haiwan liar dan berbisa yang turut mencari perlindungan ketika banjir.
Setiap musim tengkujuh, laporan tentang mangsa dipatuk ular, disengat serangga berbisa atau terkejut dengan kehadiran buaya dan biawak dalam kawasan penempatan bukanlah perkara luar biasa. Maka, aspek keselamatan daripada haiwan berbahaya perlu menjadi keutamaan sebaik sahaja penduduk kembali ke rumah.
Ketika banjir, habitat semula jadi haiwan liar turut musnah, menyebabkan ular, buaya, lipan, kala jengking dan tikus berpindah ke tempat lebih kering. Ini termasuk kawasan rumah, longkang, stor, perabot dan timbunan sampah.
Dalam keadaan terperangkap dan tertekan, haiwan-haiwan ini boleh bertindak agresif. Proses pembersihan rumah menjadi berisiko tinggi jika tidak dilakukan dengan cermat dan berlapis-lapis aspek keselamatan.
Sebelum memasuki rumah, penduduk harus memeriksa kawasan sekeliling terutamanya bawah rumah (jika bertiang), semak, stor dan longkang. Gunakan kayu panjang untuk mengalihkan objek seperti papan atau kotak dan elakkan menyentuh apa-apa dengan tangan kosong. Pakai kasut bertutup, sarung tangan tebal serta bawa lampu suluh jika kawasan masih gelap.
Di rumah, setiap ruang berpotensi menjadi tempat persembunyian seperti almari, bawah sinki, belakang peti sejuk, celah perabot dan mesin basuh, perlu diperiksa secara sistematik. Kawasan dapur dan bilik air antara lokasi paling berisiko kerana sering menjadi laluan masuk haiwan melalui saluran air.
Andai menjumpai haiwan berbahaya, jangan cuba menangkapnya sendiri sebaliknya hubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat atau pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kepakaran mengendalikan situasi tersebut.
Dalam konteks komuniti, peranan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB/PBD) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat penting dalam memastikan maklumat keselamatan sampai kepada semua penduduk.
PBD boleh mengeluarkan arahan dan garis panduan pasca banjir, termasuk amaran kehadiran haiwan liar di kawasan tertentu, sementara JKKK bertindak sebagai penyampai maklumat di peringkat kampung. Hebahan melalui pembesar suara surau, papan kenyataan kampung dan kumpulan WhatsApp komuniti dapat membantu penduduk lebih berwaspada.
Pihak berkuasa seperti PBT pula boleh menjalankan kerja pembersihan awal, termasuk mengangkat sampah pasca banjir, membersihkan longkang tersumbat dan melakukan semburan pembasmi serangga di kawasan berisiko tinggi. Polis dan RELA juga boleh membantu mengawal kawasan tertentu serta memastikan penduduk masuk semula ke rumah dalam keadaan selamat dan terkawal.
Hakikatnya, ancaman haiwan berbahaya selepas banjir tidak boleh dianggap remeh. Langkah berjaga-jaga yang tersusun dapat melindungi nyawa, mengurangkan kecederaan dan mengelakkan beban tambahan kepada sistem kesihatan dan pasukan penyelamat.
Dalam fasa pemulihan yang mencabar ini, keselamatan perlu dijadikan prinsip utama, bukan sahaja daripada struktur rosak atau risiko penyakit tetapi juga daripada haiwan yang mungkin bersembunyi dalam senyap.
Dengan kombinasi kewaspadaan individu, kesediaan komuniti dan campur tangan pihak berkuasa, proses kembali ke rumah dapat dilakukan dengan lebih selamat, teratur serta penuh keyakinan.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak










