Bimbang keadaan jalan ketika hujan

Bimbang keadaan jalan ketika hujan

KERAJAAN perlu menilai semula kontraktor dilantik agar kerja-kerja yang dilakukan tidak seperti melepaskan batuk di tangga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM hujan kembali lagi dalam mewarnai persekitaran dan kehidupan masyarakat di negara ini. Saya ingin menyentuh tentang mutu pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya apabila musim hujan selain isu takungan air ketika banjir. 

Saya berpandangan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memberi perhatian kepada keadaan infrastruktur ini memandangkan kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk membina dan menyelenggara.

Terdapat lopak air, ada kecil dan besar seperti kolam di atas jalan raya ketika hujan.  Keadaan ini boleh menyebabkan kenderaan sukar dikawal terutama kenderaan kecil dan motosikal. 

Pada pemerhatian saya, keadaan permukaan jalan yang tidak rata, penampalan yang tidak sempurna atau tidak sekata dan tidak mengikut spesifikasi yang betul memungkinkan wujudnya lekukan. 

Selain itu, bahu jalan yang tinggi dan ditumbuhi rumput panjang menyukarkan air mengalir dengan lancar, menyebabkan air bertakung dan membentuk lopak yang berisiko membuat kenderaan tergelincir.

Selain itu juga, kekurangan papan tanda jalan, papan tanda yang lusuh  dan garisan putih yang hampir tidak jelas amat bahaya  terutama ketika memandu di waktu malam atau  hujan dengan jarak penglihatan sangat terhad.

Saya berpandangan jalan persekutuan dan jalan bandaran sama pentingnya kepada rakyat walaupun tiada tol mahupun sumber kewangan daripada kerajaan pusat namun keselesaan rakyat serta aspek keselamatan perlu tetap diberi keutamaan.

Kerajaan juga perlu menilai semula kontraktor  dilantik agar kerja-kerja yang dilakukan tidak seperti  melepaskan batuk di tangga. Contohnya, sisa rumput selepas dipotong hendaklah dikumpulkan bukan ditinggalkan di tepi jalan. Sementara longkang atau lubang yang digali hendaklah ditimbus kembali.

Akhir sekali, agensi berkaitan dan masyarakat perlu saling bertanggungjawab dalam memastikan kerja yang dilaksanakan tidak menjadi masalah kepada orang lain pula.-UTUSAN

 

RAKYAT RISAU

Temerloh

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×