Agentic AI jadikan operasi lebih laju, murah, pintar

Agentic AI jadikan operasi lebih laju, murah, pintar

Agentic AI bertindak sebagai ejen lengkap yang memahami konteks, mengakses sistem dalaman dan menyelesaikan kes dari awal hingga akhir tanpa perlu diserahkan kepada manusia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2026 dijangka menjadi detik penting yang mengubah cara organisasi mengurus rangkaian dan mengautomasi operasi harian.

Jika sebelum ini kecerdasan buatan (AI) bertindak sebagai alat ramalan atau pembantu digital, kini muncul evolusi baharu yang lebih berkuasa iaitu Agentic AI.

Tidak seperti AI tradisional yang menunggu arahan, Agentic AI dianggap lebih berdikari kerana mampu merancang, membuat keputusan, melaksanakan tindakan dan menyelesaikan masalah kompleks secara autonomi.

Keupayaannya bertindak sebagai ‘ejen’ dengan objektif tersendiri menjadikan teknologi ini pemacu transformasi operasi perniagaan pada skala yang lebih luas.

Peralihan ini berlaku kerana fungsinya berdasarkan matlamat, bukannya hanya input pengguna. Ia boleh mengurus siri tugasan secara berantai, belajar daripada konteks sebenar operasi dan menambah baik proses secara berterusan.

Dalam persekitaran perniagaan, keupayaan ini menjadikan Agentic AI seolah-olah pekerja digital dengan kemahiran teknikal tinggi seperti mengurus rangkaian, memantau ancaman keselamatan, merancang strategi dan mengoptimumkan penggunaan sumber.

Menjelang 2026, pengurusannya dijangka berubah secara drastik melalui keupayaan pengesanan masa nyata, penyelesaian masalah automatik dan keupayaan pemulihan kendiri.

Agentic AI mampu mengesan gangguan rangkaian, menentukan punca masalah dan melaksanakan tindakan pembetulan tanpa menunggu campur tangan jurutera. Konfigurasi router, pengimbangan beban dan penstabilan sambungan yang sebelum ini memerlukan pemantauan berterusan kini berlaku secara automatik.

Rangkaian juga menjadi lebih pintar. Agentic AI menganalisis corak tingkah laku rangkaian dan meramal potensi kerosakan sebelum ia berlaku. Ini bukan sahaja mengurangkan masa gangguan malah meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan serta mengelakkan kehilangan kos akibat kerosakan sistem.

Sebelum ini automasi terhad kepada bot perkhidmatan pelanggan atau sistem RPA yang mengendalikan tugasan rutin. Namun Agentic AI membawa automasi ke tahap lebih strategik.

Ia mampu merancang jadual penghantaran, memantau stok, mengurus vendor dan menyelaras logistik. Keputusan dibuat berdasarkan analisis permintaan, status bekalan, risiko rantaian bekalan serta kedudukan kewangan syarikat.

Dalam perkhidmatan pelanggan pula, Agentic AI bertindak sebagai ejen lengkap yang memahami konteks, mengakses sistem dalaman dan menyelesaikan kes dari awal hingga akhir tanpa perlu diserahkan kepada manusia.

Dalam pengurusan pentadbiran, teknologi ini menjana laporan, menyemak kontrak, mengurus dokumen undang-undang dan melakukan pematuhan secara automatik. Tugas rutin yang sebelum ini menyita masa dapat diselesaikan lebih cepat dan tepat.

Automasi peringkat tinggi menjadikan kos operasi lebih rendah sehingga 40 peratus, meningkatkan produktiviti organisasi dan menghasilkan keputusan lebih konsisten.

Walaupun berpotensi besar, Agentic AI turut membawa cabaran baharu yang tidak boleh dipandang ringan. Antaranya ialah risiko autonomi berlebihan, privasi data sensitif dan keperluan polisi keselamatan serta peraturan audit AI. Organisasi juga perlu menangani isu penggantian pekerjaan apabila tugasan rutin automatik diganti oleh agen digital.

Namun dalam ekosistem kerja masa hadapan, Agentic AI tidak menggantikan manusia sepenuhnya. Sebaliknya melengkapi peranan manusia dengan AI mengendalikan tugas teknikal dan rutin, manakala manusia memberi hala tuju, nilai etika, kreativiti dan pengawasan. Model ini lebih berasaskan kerjasama berbanding persaingan.

Walaupun terdapat cabaran dari aspek etika, privasi dan keselamatan, manfaatnya jauh lebih besar.-UTUSAN

WAN SALMIZI WAN MAHMOOD
Pensyarah, Jabatan Kejuruteraan Elektrik,
Politeknik Kota Bharu (PKB)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN