Bantu mahasiswa urus emosi, jaga kesihatan mental

Bantu mahasiswa urus emosi, jaga kesihatan mental

PELAJAR harus sedar bahawa kejayaan sejati bukan sekadar memiliki segulung ijazah, tetapi keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kesejahteraan diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI ramai pelajar, dunia universiti hari ini bukan lagi sekadar ruang kuliah dan pergaulan fizikal. Ia kini merangkumi kelas atas talian, tugasan maya dan komunikasi tanpa henti melalui platform digital. Pelajar perlu sentiasa “terhubung”, menghantar tugasan di portal, berinteraksi dalam kumpulan WhatsApp akademik, menyertai perbincangan maya dan menyiapkan projek menggunakan pelbagai aplikasi.

Namun di sebalik kemudahan ini, muncul tekanan baharu yang sering tidak disedari. Ramai pelajar melaporkan keletihan digital (digital fatigue), rasa sunyi walaupun aktif dalam talian dan hilang semangat belajar akibat terlalu banyak masa di hadapan skrin. Hubungan sosial dulunya terbina melalui interaksi kampus kini digantikan dengan mesej tanpa ekspresi dan emoji dingin.

Lebih membimbangkan, tekanan emosi ini kadangkala dipendam kerana pelajar beranggapan mereka perlu kelihatan “kuat” atau “cekap” menyesuaikan diri dengan dunia digital. Akibatnya, sebahagian pelajar mengalami simptom stres, kebimbangan, dan kemurungan tanpa disedari rakan atau pensyarah mereka.

Kini, kaunseling di era digital semakin mudah diakses. Ramai universiti memperkenalkan platform e-kaunseling yang membolehkan pelajar membuat janji temu dan berinteraksi dengan kaunselor secara dalam talian. Bentuk ini memberi ruang kepada pelajar yang malu atau kekangan masa untuk mendapatkan bantuan dengan lebih selesa dan rahsia terpelihara.

Namun, cabarannya ialah memastikan pelajar benar-benar berani mencari bantuan apabila perlu. Ramai masih menyimpan tanggapan bahawa kaunseling hanya untuk “orang bermasalah”, sedangkan hakikatnya ia adalah ruang bimbingan dan sokongan emosi yang penting untuk kesejahteraan hidup di kampus.

Di sinilah pentingnya santuni emosi. Ia bermaksud mendengar diri sendiri, mengenal emosi yang hadir dan berani mengurusnya dengan cara yang sihat. Pelajar perlu diberi kesedaran bahawa menjaga kesihatan mental sama pentingnya dengan mengejar kecemerlangan akademik.

Pelajar juga boleh saling menyokong melalui program peer support atau rakan pembimbing. Sokongan daripada rakan sebaya sering lebih mudah diterima, terutama apabila mereka melalui cabaran yang hampir sama, tekanan peperiksaan, masalah kewangan, atau isu hubungan.

Kecemerlangan pelajar tidak boleh diukur hanya dengan gred atau pencapaian akademik. Dalam dunia kerja dan kehidupan moden, keupayaan mengurus tekanan, berfikir secara tenang, serta berinteraksi dengan empati adalah kemahiran penting yang perlu diasah sejak di universiti.

Institusi pengajian tinggi wajar memperkukuh budaya kampus yang menyokong kesejahteraan mental melalui program kesedaran, bengkel pengurusan stres dan ruang rehat digital (digital detox space). Persekitaran kondusif akan membantu pelajar membentuk daya tahan emosi dan semangat insani yang kukuh.

Era digital tidak akan berhenti berkembang. Namun, pelajar universiti perlu belajar untuk menyesuaikan diri dengan bijaksana. Bukannya menjadi hamba kepada teknologi, tetapi menggunakannya untuk memperkayakan kehidupan.

Dalam perjalanan menuntut ilmu, pelajar harus sedar bahawa kejayaan sejati bukan sekadar memiliki segulung ijazah, tetapi keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kesejahteraan diri. Maka, marilah warga kampus bersama-sama membina budaya prihatin, menyantuni emosi dan menumbuhkan insan yang sejahtera dalam setiap jiwa pelajar. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD HAFIZ ZULFAKAR
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN