Pendidikan jarak jauh lahir graduan masa hadapan

Pendidikan jarak jauh lahir graduan masa hadapan

PENDIDIKAN jarak jauh bukan sekadar alternatif tetapi pelaburan strategik untuk negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN sokongan dasar kerajaan serta pengiktirafan industri, pendidikan jarak jauh (PJJ) semakin mendapat tempat dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Bagi belia Malaysia yang mahu melanjutkan pelajaran tanpa mengorbankan kerjaya atau tanggungjawab keluarga, PJJ menawarkan jalan tengah yang lebih fleksibel berbanding pengajian sepenuh masa di kampus.

Jika pengajian tradisional menuntut komitmen penuh di bilik kuliah, PJJ pula membenarkan pembelajaran secara separuh masa yang boleh disusun mengikut kesesuaian individu.

Fenomena ini semakin jelas selepas pandemik Covid-19, apabila masyarakat semakin terbiasa dengan pembelajaran maya.

Statistik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 menunjukkan lebih 40 peratus daripada 1.2 juta pelajar universiti awam dan swasta pernah mengikuti kursus sepenuhnya dalam talian.

Malah, pasaran e-pembelajaran Malaysia dianggarkan bernilai AS$3.57 bilion (RM 16.78 bilion) pada 2024 dan dijangka melonjak ke AS$16.16 bilion (RM 68.16 bilion) menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunan 28.8 peratus.

Namun, perjalanan ini tidak sunyi daripada cabaran. Kos pengajian kekal sebagai halangan utama. Data Jabatan Perangkaan Malaysia 2022 merekodkan pendapatan isi rumah penengah sekitar RM6,338 sebulan, manakala 20 peratus keluarga berpendapatan rendah memperoleh kurang daripada RM3,000.

Dengan inflasi barangan asas kekal melebihi empat peratus sejak 2023, kos tambahan seperti komputer riba, telefon pintar dan internet menjadi beban kewangan yang besar.

Bagi pelajar PJJ, sebahagian gaji bulanan terpaksa dikorbankan demi menampung yuran, berbeza dengan pelajar sepenuh masa yang lebih bergantung pada biasiswa atau pinjaman pendidikan.

Selain itu, kesihatan mental turut menjadi isu serius. Kajian menunjukkan lebih 30 peratus belia Malaysia berusia 16 hingga 24 tahun mengalami simptom kemurungan atau kebimbangan.

Mahasiswa PJJ khususnya menanggung tekanan berganda kerana mereka perlu menyeimbangkan antara kerja, kuliah dan tanggungjawab keluarga. Jika pelajar sepenuh masa lebih terikat dengan persaingan akademik di kampus, pelajar PJJ pula menanggung cabaran realiti dunia kerja yang tidak menunggu sesiapa.

Walau bagaimanapun, fleksibiliti yang ditawarkan PJJ memberi kelebihan besar, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Ramai pelajar dapat menyusun jadual belajar mengikut tuntutan kerja, membolehkan mereka memperoleh pengalaman praktikal di lapangan sambil mendalami teori.

Tinjauan Persekutuan Majikan Malaysia pada 2023 mendapati hanya 65 peratus majikan yakin graduan PJJ setara dengan graduan kampus. Universiti perlu mengambil langkah proaktif dengan memperkukuh kurikulum agar lebih mesra industri, memperkenalkan projek kolaboratif bersama syarikat, serta menyediakan latihan praktikal berskala separuh masa.

Fleksibiliti graduan PJJ yang mampu menyesuaikan masa belajar dengan tuntutan kerja sepatutnya dilihat sebagai aset, bukan kekurangan.

Bagi menarik minat lebih ramai belia, khususnya dalam bidang kritikal seperti teknologi hijau, universiti boleh menawarkan kursus bersijil mikro yang digabungkan menjadi ijazah penuh.

Modul interaktif mesra mudah alih, pembelajaran berasaskan projek industri serta komuniti maya penyelidikan mampu mengurangkan rasa terasing. Pada masa sama, kerajaan perlu memperluas skim bantuan kewangan, menyalurkan subsidi internet dan mewujudkan dana khas untuk melahirkan tenaga kerja hijau melalui PJJ.

Jelas sekali, pendidikan jarak jauh bukan sekadar alternatif tetapi pelaburan strategik untuk negara. Ia membuka ruang kepada pekerja muda, ibu bapa dan masyarakat luar bandar untuk mengejar ilmu tanpa meninggalkan tanggungjawab sedia ada.

Dengan ekosistem PJJ yang inklusif, lestari dan sejajar dengan kehendak industri, Malaysia mampu melahirkan graduan celik digital, berdaya tahan dan relevan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). – UTUSAN

DR. NURUL NADIAH MOHD. FIRDAUS HUM
Koordinator Fakulti Sains Gunaan,
Institut Pengajian Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS),
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN