SETIAP tahun pada 27 September, Hari Pelancongan Sedunia diraikan bagi mengingatkan dunia tentang peranan penting industri pelancongan dalam membentuk ekonomi, masyarakat dan budaya.
Tema sambutan tahun ini, ‘Pelancongan dan Transformasi Mampan’, mengajak masyarakat melihat semula maksud pertumbuhan pelancongan, bukan sekadar dari segi peningkatan jumlah kedatangan pelancong tetapi juga dalam memastikan manfaatnya berkekalan serta dinikmati secara adil oleh semua pihak.
Pelancongan membawa makna lebih besar daripada sekadar perjalanan. Ia menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, jambatan pertukaran budaya dan penghubung dunia. Namun, di sebalik limpahan peluang pekerjaan dan pendapatan, timbul persoalan mengenai kesan yang ditinggalkan.
Isu kelestarian alam sekitar, pemeliharaan budaya serta fenomena pelancongan berlebihan kini semakin mendapat perhatian global. Bagi Malaysia, sebuah negara yang kaya dengan warisan budaya dan alam semula jadi, isu ini amat signifikan.
Sebagai hab ekonomi utama negara, Selangor berada di barisan hadapan dalam membincangkan cabaran tersebut. Dengan sasaran kedatangan 8 juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025), negeri ini bersiap sedia untuk mencatat pertumbuhan lebih pesat.
Namun, kejayaan ini perlu diurus dengan penuh berhati-hati agar tidak memberi tekanan kepada sumber, menjejaskan kesejahteraan komuniti atau mengorbankan khazanah budaya dan alam semula jadi yang menjadi identiti unik Selangor.
Konsep kelestarian dalam pelancongan bukan hanya berkait pemeliharaan alam sekitar tetapi turut melibatkan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan komuniti.
Di Selangor, pelancongan berasaskan pengalaman dan komuniti dijadikan tonggak transformasi. Tarikan inap desa membuka ruang kepada pelancong untuk merasai kehidupan desa autentik daripada aktiviti sawah padi hinggalah program kebudayaan.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang pendapatan kepada usahawan kecil, malah memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap warisan tempatan.
Walau bagaimanapun, kejayaan model ini bergantung kepada keseimbangan. Tourism Selangor komited memastikan jumlah pelawat dikawal dengan baik supaya komuniti tidak terbeban sementara tradisi dan budaya diraikan secara wajar tanpa dikomersialkan secara berlebihan.
Selangor turut kaya dengan daerah bersejarah seperti Gombak dan Hulu Langat yang menempatkan mercu tanda penting termasuk Batu Arang, Batu Caves dan tapak warisan Kajang.
Khazanah ini menuntut pendekatan pemeliharaan bijaksana. Sehubungan itu, komuniti tempatan yang dilatih sebagai Geopark Champions kini memainkan peranan penting sebagai pemandu pelancong. Dengan penceritaan autentik, mereka bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelawat, malah membantu meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Geopark Gombak-Hulu Langat menjadi contoh terbaik keseimbangan tersebut. Ia menggabungkan keunikan geologi, biodiversiti dan warisan budaya dalam satu pakej berpengetahuan.
Kawalan had pengunjung, lawatan berpandu serta langkah konservasi diperkenalkan bagi mengelakkan isu pelancongan berlebihan. Usaha ini memperlihatkan komitmen Tourism Selangor dalam memastikan generasi masa depan terus berpeluang menikmati nilai kawasan tersebut.
Sempena TMS2025, setiap strategi pelancongan digerakkan dengan visi pertumbuhan dan kelestarian perlu bergerak seiring. Usaha ini bukan hanya bertujuan menarik jutaan pengunjung tetapi juga memastikan identiti budaya kekal terpelihara, komuniti semakin berdaya tahan dan alam sekitar terus terjaga.
Dalam jangka panjang, masa hadapan pelancongan di Selangor dan Malaysia amat bergantung pada sejauh mana transformasi lestari dapat dilaksanakan.
Kelestarian kini bukan lagi pilihan sebaliknya asas penting dalam membina industri pelancongan progresif, bertanggungjawab dan mampan.
Hari ini, mesejnya jelas, pelancongan lestari adalah kunci masa depan industri dan Selangor komited memastikan perjalanan ini terus membawa manusia, budaya dan alam semula jadi berkembang bersama. – UTUSAN
CHUA YEE LING
Ketua Pegawai Eksekutif,
Tourism Selangor










