KESELAMATAN dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sekolah sering dipandang ringan, walhal institusi pendidikan juga merupakan kawasan berisiko tinggi yang menempatkan ratusan ribu pelajar, guru dan warga kerja.
Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan hanya di bahu pihak sekolah, sebaliknya perlu dipikul bersama Kementerian Pendidikan, agensi penguatkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti.
Kajian Peltzer dan Pengpid (2015) mendapati hampir 35 peratus pelajar di Malaysia mengalami kecederaan serius dalam tempoh setahun, berpunca daripada insiden jatuh, tergelincir, kemalangan jalan raya serta aktiviti sukan.
Pada 1999, sebanyak 22 buah sekolah dilaporkan mengalami kebakaran dengan kerugian lebih RM500,000. Antara punca utama ialah pendawaian usang, pengendalian bahan kimia secara tidak selamat serta ketiadaan papan tanda dan latihan pencegahan kecemasan.
Lebih membimbangkan, beberapa lokasi sekolah seperti makmal sains, dapur kantin, stor bahan, bilik elektrik dan tandas dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi. Tanpa intervensi yang sistematik, potensi kemalangan boleh meningkat secara drastik.
Elemen paling kritikal dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat ialah pelaksanaan pentaksiran risiko secara berkala. Proses ini melibatkan tiga komponen utama:
– Mengenal pasti bahaya: Ia termasuk risiko seperti lantai licin, kabel elektrik terdedah, bahan kimia, jangkitan biologi dan peralatan sukan.
– Penilaian tahap risiko: Menganalisis kemungkinan serta impak bahaya, seterusnya mengklasifikasikan risiko sebagai rendah, sederhana atau tinggi.
– Langkah kawalan: Melaksanakan tindakan seperti penyelenggaraan berkala, latihan kebakaran, pemasangan papan tanda, penyimpanan bahan kimia yang selamat dan sistem pelaporan kecemasan.
Setiap sekolah disarankan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi menyelaras semua proses ini secara profesional dan konsisten.
Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menunjukkan komitmen berterusan melalui latihan keselamatan untuk guru dan staf, penyelenggaraan infrastruktur serta pembangunan sistem pelaporan kecemasan. Usaha ini akan meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah.
Kerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga penting. Walaupun fokus utama agensi ini adalah sektor perindustrian, kepakaran mereka dalam audit keselamatan, latihan teknikal serta akta AKKP 1994 boleh dimanfaatkan sekolah. Perkongsian kepakaran ini membolehkan sistem pengurusan keselamatan lebih tersusun dan berkesan.
Selain itu, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) turut memainkan peranan. Dengan pengalaman luas dalam bidang keselamatan pekerjaan, organisasi itu mampu membantu sekolah menilai risiko dan melaksanakan pengurusan keselamatan mengikut piawaian antarabangsa.
Sektor swasta boleh terlibat melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti penajaan alat pengesan asap, penyediaan peti kecemasan, pengecatan garisan keselamatan atau pembekalan pakaian keselamatan untuk pengawal.
Komuniti dan ibu bapa juga mempunyai peranan besar. Melalui kerjasama sukarela seperti membaiki fasiliti sekolah, memantau persekitaran serta memberi maklum balas secara terbuka, mereka membantu menyemai budaya cakna keselamatan. Pendekatan ini membina rasa tanggungjawab kolektif yang kekal dalam jangka panjang.
Kini tiba masanya semua pihak sama ada kerajaan, agensi teknikal, NGO, sektor swasta dan komuniti berganding bahu melaksanakan pendekatan proaktif berasaskan pentaksiran risiko.-UTUSAN
DR. MOHAMAD XAZAQUAN MANSOR ALI
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia










