Sektor pembersihan perlukan pekerja mahir

Sektor pembersihan perlukan pekerja mahir

SUDAH sampai masanya kontraktor pembersihan memberi perhatian kepada latihan pekerja-pekerjanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM) masih menunggu pelaksanaan kontrak pembersihan berasaskan prestasi seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan dua tahun yang lalu. Ini kerana pelaksanaan kontrak berasaskan prestasi (PBC) dijangka mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan pembersihan dan kebersihan dalam negara.

Jika sebelum ini penilaian prestasi kontraktor lebih tertumpu kepada bilangan pekerja yang dibekalkan serta kerja yang dilaksanakan sementara PBC menekankan penilaian berdasarkan kualiti dan hasil kerja.

Di bawah PBC, kontraktor perlu memastikan pekerja-pekerjanya dilatih untuk menjalankan kerja dengan cara betul dan berkesan, tidak memadai dengan hanya menyediakan tenaga pekerja yang cukup. Tanpa latihan belum tentu hasil kerja pekerja akan mencapai standard bersih yang sepatutnya.

Sebagai contoh, untuk mengelak pekerja mop lantai sehingga melanggar sekiting lantai, dia sepatutnya mop bahagian depan, tepi kiri dan kanan dinding terlebih dahulu dan meninggalkan enam inci dari tepi dinding semasa mop bahagian tengah lantai.

Begitu juga sekiranya pekerja gagal menukar air yang kotor dan terus mengemop. Ini akan menyebabkan bahagian lantai yang dimop selepas itu semakin kotor kerana menggunakan air kotor.

Kerja cucian yang dianggap lumrah dilakukan oleh suri-suri rumah masih memerlukan latihan bagi memastikan hasil kerja mencapai standard. Pekerja perlu dilatih untuk membancuh bahan pencuci untuk mengemop lantai mengikut nisbah yang sesuai.

Jika dibancuh terlalu pekat ia bukan sahaja menyebabkan pembaziran bahan sebaliknya akan menyebabkan lantai menjadi lekit dan cepat kotor selepas dimop. Apatah lagi kesan bahan yang berlebihan pada alam sekitar.

Jika selama ini ramai kontraktor pencucian yang mengabaikan latihan untuk pekerja- pekerjanya kerana menganggap kerja cucian itu lumrah, sampai masanya untuk mereka memberi penekanan kepada latihan pekerja. Tambahan pula dengan pelaksanaan PBC, penggunaan teknologi dan inovasi akan lebih ketara.

Kerajaan menyediakan tabung pembangunan sumber manusia di bawah HRDCorp. Majikan hanya perlu menyumbang satu peratus dari gaji pekerja sebagai peruntukan simpanan untuk latihan kakitangan dan pekerja-pekerjanya.

Disebabkan sebahagian kontraktor menganggap latihan itu tidak perlu, ramai yang mengabaikannya, menyebabkan mereka tidak menyumbang kepada tabung tersebut. Terdapat juga kontraktor yang menyumbang kerana diwajibkan tetapi gagal memanfaatkan sumbangannya untuk memberi latihan kepada pekerja-pekerjanya.

Kegagalan melatih pekerja bukan sahaja merugikan kontraktor tetapi juga negara. Pekerja yang tidak terlatih memberi manfaat yang sedikit kepada syarikat kerana hasil kerjanya tidak mencapai standard yang sepatutnya.

Pada masa sama kemajuan negara akan terbantut sekiranya kekurangan tenaga pekerja mahir. Menurut Jabatan Statistik, kurang dari 30 peratus tenaga pekerja di Malaysia adalah pekerja mahir. Manakala menurut Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Chang Lih Kang, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 35 peratus pekerja mahir untuk meletakkan kita setanding dengan negara maju.

Sudah sampai masanya untuk kontraktor-kontraktor pembersihan memberi perhatian kepada latihan pekerja-pekerjanya khususnya dalam menghadapi peralihan dari kontrak berasaskan bilangan pekerja kepada prestasi. Keutamaan kontrak berasaskan prestasi ialah hasil kerja bukan lagi bilangan pekerja dan kerja yang dijalankan.

Hanya dengan latihan dapat memastikan hasil kerja pekerja mencapai standard yang sepatutnya dan seterusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan pembersihan serta kebersihan dalam negara.-UTUSAN

NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN