MAJLIS Perwakilan Kolej (MPK), merupakan organisasi mahasiswa yang dilantik oleh pengurusan kolej. Ia berperanan sebagai saluran perhubungan antara pihak kolej dengan mahasiswa serta sebagai barisan hadapan yang memimpin dan mempersatukan mahasiswa.
MPK menjadi pemudah cara iaitu mendengar, bertindak dan mencari jalan penyelesaian. Bukan itu sahaja, dalam kepimpinan MPK, ia digambarkan sebagai jambatan yang membuka peluang membina aspirasi mahasiswa dalam membentuk kekuatan semangat jati diri serta melahirkan mahasiswa produktif.
Dalam sudut kewibawaan mahasiswa, MPK adalah sebagai suara mahasiswa dalam mengutarakan pendapat dan pandangan yang relevan bagi menzahirkan keharmonian serta kesaksamaan.
MPK memperhalusi insentif yang sesuai dikemukakan kepada mahasiswa kurang upaya bagi membantu menambahbaik fasiliti kediaman, supaya perkhidmatan MPK sejajar dengan teras Malaysia Madani.
Bukan itu sahaja, bagi merancakkan daya fikir dan keterlibatan mahasiswa bersama MPK, penyediaan prasarana seperti perpustakaan mini atau makmal komputer di kolej kediaman juga memberikan impak yang besar dalam membantu mahasiswa sentiasa proaktif serta bersemangat untuk menuntut ilmu.
Secara tidak sedar, MPK juga menyumbang terhadap kecemerlangan intelek dengan mengusulkan perkhidmatan luar jangkauan bagi meningkatkan kreativiti serta merealisasikan aspirasi mahasiswa.
Oleh demikian, MPK juga boleh mengambil peluang membuktikan ia sebagai organisasi prihatin terhadap mahasiswa dalam memberi alternatif serta insentif terbaik bagi meningkatkan motivasi dan menyemarakkan rasa kasih sayang terhadap kolej mahupun universiti.
Dalam aspek MPK sebagai peneraju program aspirasi mahasiswa, mereka menganjurkan program akademik seperti bengkel kemahiran insaniah, keterjaminan makanan dan kelas kemahiran penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan pendidikan serta penyelidikan. Kesannya, secara khusus daya intelektual mahasiswa akan berkembang serta boleh membantu komuniti awam dalam menghebahkan kebaikan dan meningkatkan produktiviti komuniti setempat.
Apabila menjadi seorang mahasiswa dalam MPK, mereka akan dihidangkan dengan ilmu kepimpinan. Antaranya, prosedur pengurusan masa yang efisien, belajar cara untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan serta etika sebagai seorang pemimpin profesional. Ini akan memberi kesan jangka panjang kepada mahasiswa MPK dalam bidang pekerjaan kerana sudah dilatih dengan sifat akauntabiliti iaitu bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam melaksanakan tugas.
Bukan itu sahaja, dari segi kepimpinan, mereka dapat menjadi tonggak utama dalam penyampaian kualiti perkhidmatan yang mampan.
MPK adalah pelapis kepimpinan negara. Kepimpinan di kolej adalah sebagai latihan kecil untuk kepimpinan besar di masa hadapan. MPK dapat melahirkan mahasiswa yang mampu mengurus tadbir dengan sistematik dan menjadi pakar runding untuk menyelesaikan konflik. Dalam masa sama melahirkan generasi pemimpin yang mempunyai sikap empati dalam menabur bakti kepada masyarakat.
Oleh itu, jelaslah MPK bukanlah gah sebagai nama besar dalam komuniti mahasiswa tetapi mempunyai intipati yang sangat bermanfaat. Ia boleh digarap serta diamalkan dalam membentuk mahasiswa yang hebat bukan sekadar dalam bidang akademik malah masyhur dari segi tatakelola.-UTUSAN
MUHAMMAD SYAZNI AIMAN SAAD
Ketua Felo, Kolej Empat Belas
Universiti Putra Malaysia (UPM)









