PROGRAM Madani Rakyat (PMR) 2025 Kelantan telah melabuhkan tirainya setelah berlangsung selama tiga hari, bermula 7 hingga 9 Ogos 2025 di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Program ini berjaya menarik 182,974 orang pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat, membuktikan sokongan rakyat terhadap aspirasi kerajaan untuk mendekatkan dasar dan perkhidmatan terus ke akar umbi.
PMR 2025 Kelantan merupakan inisiatif Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) sebagai penganjur bersama.
STI UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT
Dengan tema “Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) untuk Kesejahteraan Rakyat”, PMR 2025 Kelantan menerajui pelbagai aktiviti dan pameran sains interaktif, inovasi teknologi tempatan, serta peluang pembiayaan untuk usahawan teknologi. Penglibatan agensi-agensi di bawah MOSTI telah membuka ruang kerjasama dan akses kepada peluang pembangunan bagi masyarakat setempat termasuk pelajar, belia, usahawan dan penduduk luar bandar.
PMR 2025 Kelantan menyerlahkan peranan STI sebagai pemacu kemajuan inklusif. Antara sorotan utama adalah:
- Pameran Touch & Feel – Pengunjung berpeluang mencuba secara langsung teknologi terkini seperti kereta hidrogen, dron pertanian, sistem pengesanan radiasi, ujian ketulenan emas dan paparan hologram, yang mempamerkan potensi STI dalam meningkatkan keselamatan, produktiviti dan inovasi tempatan.
- Program Pendidikan & STEM – Aktiviti seperti STEM Camp, Planet Rover solar, pameran AI dan e-sukan, serta program STI 100 yang memberi peluang kepada pelajar dan belia meneroka kerjaya dalam bidang teknologi masa depan.
- Teknologi Pertanian dan Perikanan Pintar – Demonstrasi dron pertanian untuk pemantauan tanaman dan aplikasi pintar bagi nelayan bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos operasi.
- Platform Niaga Anak Digital Kelantan (NADI) – Usahawan muda, termasuk pelajar berusia 16 tahun, memanfaatkan platform digital untuk memasarkan produk warisan seperti wau sobek ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
PERKHIDMATAN DAN KEMUDAHAN
PMR 2025 Kelantan menyediakan pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang mendapat sambutan hangat, antaranya:
- Pertukaran Topi Keledar Percuma – Disediakan oleh JPJ untuk meningkatkan keselamatan penunggang motosikal.
- Kaunter Diskaun Saman Trafik oleh PDRM – Potongan sehingga 50 peratus membantu rakyat menyelesaikan saman tertunggak sambil meningkatkan kesedaran undang-undang jalan raya.
- Bas Mekar NRD – Menyediakan perkhidmatan mudah alih pendaftaran MyKad, sijil kelahiran dan dokumen penting lain secara cepat dan efisien.
- Pentas Utama dan Pentas Mini – Sesi Pocket Talk dan permainan Kahoot berkaitan topik semasa, dasar kerajaan dan isu rakyat dengan penyertaan aktif pengunjung.
- Jualan Rahmah – Penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan eKasih boleh membeli barangan keperluan dengan hanya menunjukkan MyKad.
- Aktiviti Tambahan – Perkhidmatan gunting rambut percuma oleh RELA, Jualan Agro Madani dan pameran usahawan tempatan.
PROJEK RAKYAT
Sebanyak RM6.993 juta diberikan kepada Negeri Kelantan sebagai simbolik pelaksanaan Program Tuisyen Madani di bawah Inisiatif Pembasmian Kemiskinan.
PROGRAM PERANTI MADANI
10 pelajar cemerlang STPM 2024 menerima peranti berupa komputer riba beserta hadiah kecemerlangan berbentuk sijil Simpanan Premium bernilai RM1,000. Perdana Menteri turut menyumbang sebanyak RM48,000 kepada kelab permotoran berdaftar di Kelantan. – UTUSAN
KEMENTERIAN SAINS TEKNOLOGI DAN INOVASI