Kebebasan agama bukan bermakna bebas guna istilah agama lain

Kebebasan agama bukan bermakna bebas guna istilah agama lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASYARAKAT perlu membezakan secara jelas antara konsep kebebasan beragama dan penyalahgunaan istilah agama dalam wacana awam negara ini.

Kebebasan beragama bermaksud setiap individu bebas menganut dan mengamalkan ajaran agamanya tanpa gangguan atau sekatan yang tidak wajar.

Namun, kebebasan itu bukanlah lesen untuk menggunakan simbol, istilah atau identiti agama lain secara sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan kekeliruan, salah faham dan ketegangan dalam masyarakat.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang sering mengucapkan kalimah Alhamdulillah serta melakukan sujud syukur dalam beberapa majlis rasmi.

PENGGUNAAN istilah atau simbol agama untuk tujuan politik, publisiti atau retorik tertentu boleh menimbulkan persepsi negatif serta mencetuskan polemik yang tidak perlu.

Menurut beliau, penggunaan kalimah yang lazim diucapkan umat Islam itu berpotensi mengelirukan masyarakat bukan Islam dan boleh dianggap menyentuh kesucian agama jika tidak difahami dalam konteks yang tepat.

Hak kebebasan beragama sememangnya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Namun, hak tersebut datang bersama tanggungjawab untuk menghormati sensitiviti penganut agama lain.

Penggunaan istilah atau simbol agama untuk tujuan politik, publisiti atau retorik tertentu boleh menimbulkan persepsi negatif serta mencetuskan polemik yang tidak perlu.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, keharmonian tidak hanya bergantung kepada undang-undang, tetapi juga kepada kebijaksanaan dan kepekaan semua pihak.

Menghormati batasan agama lain adalah asas penting dalam memelihara perpaduan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, isu penggunaan kalimah dan istilah Islam oleh bukan Islam di Malaysia perlu difahami dalam kerangka undang-undang, maqasid syariah serta realiti masyarakat majmuk negara.

Menurut beliau, masyarakat perlu membezakan antara kebebasan beragama dan penyalahgunaan istilah agama, kita perlu kembali kepada prinsip asas.

“Kebebasan beragama bermaksud setiap penganut bebas mengamalkan ajaran agamanya sendiri. Namun kebebasan itu tidak bermaksud boleh menggunakan simbol, istilah atau identiti agama lain sehingga mengelirukan atau menggugat ketenteraman awam.

“Dalam konteks Malaysia yang mempunyai undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam di beberapa negeri, garis pemisahnya ialah unsur kekeliruan akidah dan potensi gangguan keharmonian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah beliau, keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa pada 2008 telah memperincikan kedudukan beberapa istilah yang dianggap khusus dalam akidah dan syiar Islam.

“Keputusan itu memutuskan terdapat beberapa kalimah dan istilah yang merupakan istilah khusus dalam akidah dan syiar Islam yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dalam konteks tertentu kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan sensitiviti umat Islam.

“Antara kalimah yang disebut termasuk Allah, Rasul, Nabi, Injil, al-Quran, Kaabah, Baitullah, solat, haji dan mufti, yang mempunyai makna teologikal khusus dalam Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan kalimah dan istilah Islam oleh bukan Islam bagi tujuan politik perlu diperincikan dan tidak boleh dilihat secara umum tanpa menilai tujuan sebenar penggunaannya.

Mohd. Sukki Othman berkata, sekiranya penggunaan tersebut bersifat penghormatan, bertujuan memahami atau merujuk kepada Islam secara ilmiah, maka hukumnya berbeza dan tidak semestinya dilarang.

Namun katanya, sekiranya istilah agama digunakan untuk memperalatkan sentimen umat Islam, meraih sokongan politik atau menimbulkan kekeliruan akidah, maka ia termasuk dalam kategori penyalahgunaan dan tidak wajar.

“Dalam kaedah fiqh disebut, al-wasilah laha hukm al-maqasid iaitu wasilah mengambil hukum berdasarkan tujuannya. Jika tujuannya membawa mudarat, maka hukumnya juga menjadi terlarang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyentuh isu pemberian gelaran ustaz kepada bukan Islam.

Katanya, dari sudut bahasa Arab, perkataan ustaz bermaksud guru atau tenaga pengajar.

Namun dalam realiti masyarakat Malaysia, gelaran tersebut mempunyai konotasi khusus merujuk kepada guru agama Islam.

“Memberi gelaran itu kepada bukan Islam dalam konteks masyarakat awam boleh menimbulkan kekeliruan dan tidak wajar dari sudut adat serta sensitiviti umat Islam.

Jika sekadar merujuk kepada guru dalam bidang akademik biasa, istilah lain lebih sesuai digunakan bagi mengelakkan salah faham,” katanya.

Beliau menegaskan isu berkenaan perlu ditangani dengan hikmah dan kebijaksanaan.

“Islam menuntut kita berlaku adil dan menghormati hak orang lain, tetapi dalam masa yang sama menjaga kesucian akidah serta identiti umat.

“Pendekatan yang tenang, berlandaskan undang-undang dan prinsip syariah adalah jalan terbaik bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara,” ujarnya.

Selain itu juga, masyarakat bukan Islam perlu mematuhi keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) berkaitan larangan penggunaan kalimah dan istilah khusus bagi umat Islam di negara ini.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, larangan penggunaan yang diputuskan pada 2008 itu masih berkuatkuasa dan ia wajar dihormati semua pihak.

Katanya, tindakan melanggar keputusan itu boleh menyebabkan berlakunya masalah dan polemik antara umat Islam dan bukan Islam yang sepatutnya dapat dielak lebih awal.

“Sebenarnya sudah ada keputusan yang dibuat di peringkat kebangsaan dalam muzakarah MKI yang melarang beberapa istilah dalam agama kita untuk digunakan oleh bukan Islam.

“Sudah ada (fatwa), cuma sekarang timbul balik hingga jadi polemik. Jadi kita sepatutnya patuh pada keputusan yang dibuat itu dan diharap tidak berlaku lagi apa yang berlaku (baru-baru ini),” katanya.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, keputusan mengenai larangan itu bukan sahaja diluluskan di peringkat kebangsaan, malah ia turut dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja yang kemudiannya bersetuju.

Katanya, walaupun ada masyarakat bukan Islam yang faham dan mahir menggunakan kalimah berkaitan Islam, mereka masih tetap dilarang menggunakan istilah berkenaan.

“Ada kalimah dan istilah yang mereka memang tidak boleh guna sebab sudah ada keputusan mengenainya dibuat.

“Maka kita berharap saudara kita terutama bukan Islam patuhilah keputusan itu, walaupun mereka duduk dalam masyarakat kita dan mereka biasa, tahu dan pandai guna kalimah tertentu, tapi mereka kena mematuhi keputusan itu agar tidak timbul polemik,” katanya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN