Bina perpaduan melalui reformasi, kurangkan keresahan Melayu

Bina perpaduan melalui reformasi institusi, kurangkan keresahan Melayu

TANGANI keresahan Melayu dan mengambil langkah beransur-ansur untuk memperkenalkan reformasi institusi yang berani ke arah demokrasi konsensus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROJEK SAMA (Projek Kestabilan dan Akauntabiliti Malaysia) menegaskan bahawa perpaduan nasional sejati hanya boleh dibina melalui reformasi institusi yang berani – termasuk reformasi Parlimen; desentralisasi; penyahpolitikan (depoliticisation) Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis; serta pengubahsuaian sistem pilihan raya – bagi menangani dan mengurangkan keresahan orang Melayu.

Projek SAMA menyeru supaya diadakan perbincangan yang jujur dan penuh hormat dalam kalangan semua rakyat Malaysia dengan melibatkan semua parti utama di setiap peringkat, untuk membincangkan bagaimana keresahan Melayu boleh ditangani dalam proses pendemokrasian.

Sistem politik majoritarian Malaysia perlu secara beransur-ansur bergerak ke arah demokrasi konsensus, di mana tiada komuniti – termasuk etnik majoriti – berasa tidak selamat atau terancam.

Hakikatnya, penumpuan kuasa yang berlebihan telah menguntungkan masyarakat Melayu Muslim dari segi politik, ekonomi dan sosial di bawah dominasi satu parti UMNO-BN, namun kini menimbulkan ancaman psikologi kepada mereka apabila negara semakin menuju ke arah demokratisasi.

Memandangkan Melayu-Muslim kini diwakili sekurang-kurangnya lima parti nasional dan tiga parti kewilayahan, adalah lumrah jika timbul kebimbangan bahawa struktur politik pemenang dapat-semua (winner-takes-all) ini mungkin jatuh ke tangan komuniti lain yang kemudiannya akan membatalkan semua dasar pro-Melayu/Muslim/Bumiputera.

Bagi “menyatukan semula” politik Melayu-Muslim di bawah satu payung, strategi pembangkang PN yang bersifat monoetnik dan kumpulan Melayu pelampau sayap kanan adalah dengan mencetuskan perang budaya yang berterusan, dengan harapan dapat meruntuhkan kerajaan di pertengahan penggal seperti Langkah Sheraton 2.0, atau mengakibatkan kekalahan besar bagi PH dan UMNO dalam pilihan raya negeri yang akan datang serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Alternatif yang ditawarkan oleh Kerajaan Madani bagi mencapai perpaduan Melayu pula adalah dengan menyekat ahli parlimen PN daripada dana kawasan dan meminggirkan mereka dalam proses penggubalan undang-undang dan dasar, dengan harapan Pas atau Bersatu akhirnya terpaksa menyertai kem Madani sebelum PRU16, atau berprestasi teruk dalam PRU16, sekali gus membolehkan Kerajaan Madani memenangi kebanyakan kerusi majoriti Melayu.

Namun, kedua-dua pendekatan – yang bertujuan menghapuskan persaingan berbilang parti dalam politik Melayu – tidak akan menghasilkan politik yang bersih dan berakauntabiliti. Gabungan besar hanya akan melumrahkan lagi politik naungan, salah guna kuasa, dan rasuah. 

Ahli politik dalam kerajaan berkemungkinan besar akan saling menutup penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa masing-masing, seperti yang ternampak dalam skandal lesen penerokaan lombong di Sabah. Malah, tidak mustahil satu lagi skandal berskala besar seperti 1MDB akan tercetus.

Tambahan pula, Akta Perolehan yang diluluskan pada hari Khamis lalu amat membimbangkan kerana memberikan kuasa tanpa kawalan kepada para menteri.

Namun, sekalipun terjadi, hasilnya juga tidak akan berkekalan melainkan Malaysia memutar balik proses pendemokrasian dan kembali kepada pemerintahan satu parti atau diktator.

Baik dalam tempoh kerjasama UMNO-PAS pada tahun 1972-1977 mahupun dalam kerajaan UMNO-PN pada tahun 2020-2022, projek “Perpaduan Melayu” hanyalah bersifat sementara, berakhir dengan perbalahan pahit, dan dalam kes yang pertama, membawa kepada perpecahan yang lebih mendalam dalam kalangan Melayu-Muslim selepas “Amanat Hadi” pada tahun 1981.

Lebih buruk lagi, sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan Melayu yang ketiga, rakyat Malaysia akan terus diseksa dengan siri perang budaya yang berterusan serta pencarian kambing hitam dalam kalangan minoriti untuk memperbesar-besarkan keresahan Melayu.

Pengapian keresahan Melayu tanpa henti ini turut mencetuskan atau memperdalam keresahan dalam komuniti lain, sekali gus melemahkan perpaduan nasional dan menyebabkan suasana sambutan Hari Merdeka serta Hari Malaysia menjadi sedikit suram di sesetengah komuniti.

Kononnya demi mengembalikan imej UMNO sebagai juara hak Melayu, Ketua Pemuda UMNO, Akmal Salleh, bersama kumpulannya menjadikan setiap kesilapan tidak disengajakan oleh pihak perniagaan atau media bukan Melayu-Muslim sebagai serangan yang disengajakan terhadap Islam, Melayu atau Malaysia.

Pada tahun 2024, contohnya, insiden import dan penjualan stokin oleh KK Mart yang memaparkan corak menyerupai kalimah “Allah” dalam tulisan Arab berakhir dengan tiga serangan bom molotov di Bidor, Kuantan dan Kuching – sehingga kini pihak polis masih gagal menangkap sebarang suspek.

Pada tahun 2025 pula, isu yang dibangkitkan adalah kesilapan memaparkan atau mengibarkan bendera kebangsaan.

Walaupun kesalahan yang sama turut dilakukan oleh Pas Terengganu, Kementerian Pendidikan, Pemuda UMNO Terengganu dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), pihak akhbar Sin Chew Jit Poh dan seorang pekedai di Pulau Pinang pula ditonjolkan sebagai pengkhianat negara.

Lebih banyak lagi seruan kosong untuk perpaduan nasional daripada para pemimpin negara sempena Hari Kebangsaan, lebih banyak bendera dikibarkan di bangunan dan tepi jalan, atau perarakan yang lebih bergaya – semua itu tidak akan membawa rakyat Malaysia lebih dekat kepada perpaduan nasional yang sejati. Perpaduan hanya boleh dibina berasaskan demokrasi pelbagai parti, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia. 

Apa yang menggembirakan, kajian kualitatif mendalam oleh Iman Research bertajuk “Orang Kita” mendapati bahawa golongan belia Melayu sebenarnya menyokong kepelbagaian dan mahu dasar berasaskan etnik seperti DEB (Dasar Ekonomi Baru) direformasi agar memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, bukan hanya golongan elit.

Namun begitu, kajian ini juga menunjukkan risiko bahawa rasa tidak puas hati terhadap pembangunan setempat boleh ditafsirkan daripada sudut etnik, seperti dalam kes sesetengah responden dari Seberang Prai.

Perkara ini sudah pun berlaku melalui Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), yang memberi kesan kepada penempatan bandar lama yang sebahagian besarnya didiami oleh golongan B40 Melayu.

Rasa tidak puas hati berasaskan kelas sering kali menjadi bahan mudah untuk dibungkus semula sebagai isu perkauman.

Walaupun penyewa daripada semua latar belakang etnik dan agama boleh terkesan dengan rang undang-undang yang kontroversial ini, PN dengan senang hati menggambarkannya sebagai satu rancangan anti-Melayu yang didorong oleh seorang menteri DAP untuk membantu pemaju Cina.

Hakikat bahawa rang undang-undang URA ditangguhkan sehingga sidang Parlimen akan datang pada bulan Oktober, dan menteri berkenaan juga berjanji untuk membuat beberapa pindaan, merupakan perkembangan positif.

Namun begitu, ini tidak menjamin semua rungutan akan didengar dan ditangani sepenuhnya, apatah lagi memastikan URA tidak dijadikan isu yang dieksploitasi untuk memecahkan rakyat dari sekarang hingga PRU16.

Kerajaan sepatutnya telah merujuk rang undang-undang itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi yang bersifat dwipartisan dan mempunyai 12 ahli, dipengerusikan oleh Ahli Parlimen GPS, Yusuf Abd Wahab (Tanjong Manis), serta dianggotai antara lain empat wakil PN: Khairil Nizam Khirudin (Jerantut), Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Tasek Gelugor), Ahmad Fadhli Shaari (PN) dan Azahari Hassan (Padang Rengas).

Penambahbaikan rang undang-undang URA melalui PSSC yang melibatkan satu pertiga ahli Parlimen PN bukan sahaja akan membawa pandangan yang lebih pelbagai untuk kepentingan yang lebih luas – termasuk suara daripada negeri-negeri di bawah PN – malah ia akan memberikan URA versi akhir lebih keabsahan/legitimasi dan mengelakkan pembangunan bandar serta isu kemiskinan daripada dipolitikkan menjadi satu lagi isu perpecahan antara kaum.

Dalam keadaan sekarang, nampaknya hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mampu mengubah haluan bagi undang-undang URA ini.

Beliau boleh mengarahkan dalam mesyuarat kabinet supaya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan secara aktif melibatkan kesemua 12 Ahli Parlimen PSSC pimpinan Yusuf Abd Wahab dalam semua konsultasi dari sekarang sehingga Parlimen bersidang semula pada bulan Oktober, dan merujuk rang undang-undang tersebut secara rasmi kepada PSSC ketika itu dengan satu usul daripada seluruh Dewan Rakyat.

Langkah sebegini akan membuktikan bahawa Kerajaan Madani tidak sekadar memberi layanan janji kosong kepada agenda reformasi Parlimen dengan langkah terdahulu untuk memperluaskan keanggotaan PSSC dan menjadikannya kekal.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, juga tepat apabila mempersoalkan mengapa beberapa rang undang-undang kebelakangan ini diluluskan dengan tergesa-gesa di Parlimen, sekiranya kerajaan benar-benar berhasrat memperkenalkan lebih banyak mekanisme semak dan imbang dalam proses perundangan.

Ketika demokrasi Malaysia semakin matang menjelang sambutan ulang tahun ke-68 Kemerdekaan Tanah Melayu dan ulang tahun ke-62 pembentukan Malaysia dalam tempoh tiga minggu yang mulia ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan dengan dua pilihan.

Pertama, beliau boleh memberikan satu lagi ucapan yang besar tetapi kosong, menyeru kepada perpaduan nasional di bawah visi Madaninya – seolah-olah apa yang Malaysia kekurangan hanyalah satu lagi retorik moral.

Kedua, beliau boleh secara jujur menangani keresahan Melayu dan mengambil langkah beransur-ansur untuk memperkenalkan reformasi institusi yang berani ke arah demokrasi konsensus: reformasi Parlimen; desentralisasi; penyahpolitikkan Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis; serta menambah kerusi senarai parti dengan kuota gender di samping kerusi sistem First-Past-The-Post.

Beliau boleh memilih untuk menumpukan perhatian pada cara melindungi dan memperluaskan kuasanya.

Atau beliau boleh menggunakan kuasa yang ada untuk membuatkan Melayu Muslim dan seluruh rakyat Malaysia berasa lebih selamat di bumi bertuah Malaysia, agar namanya dikenang bersama Tunku Abdul Rahman, sebagai pemimpin yang membawa keterangkuman, keharmonian, dan kemajuan yang lestari. – UTUSAN

PROJEK SAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN