KUALA LUMPUR: Sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO menunjukkan trend penurunan sekitar lima peratus berdasarkan beberapa keputusan pilihan raya kebelakangan ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, namun ia tidak membawa kepada kemerosotan keseluruhan sokongan parti apabila ditampung dengan sokongan pengundi setia parti kerajaan Perpaduan.
Beliau mengambil contoh keputusan Pilihan Raya Kecil Tioman dan Pelangai membuktikan penurunan undi Melayu masih mampu diseimbangkan dengan peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu.
“Penurunan undi Melayu sekitar lima peratus diimbangi dengan peningkatan undi bukan Melayu sehingga 10 peratus.
“Ini menunjukkan UMNO masih mengekalkan tahap sokongan keseluruhan yang stabil. Kita tidak kehilangan segalanya dan dalam masa sama tidak memperoleh sepenuhnya, bergantung kepada kawasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah pengundi Melayu semakin dekat dengan UMNO dalam keadaan parti itu berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu Wan Rosdy turut berkata, permintaan Pemuda UMNO supaya meneliti kembali kerjasama dengan kerajaan Perpaduan merupakan hak dan pendirian sayap itu.
Katanya, setakat ini pendirian parti adalah berdasarkan keputusan pimpinan tertinggi iaitu kekal dalam Kerajaan sedia ada.
“Tidak salah apa yang dia minta, meneliti itu seperti dia meminta untuk kita kaji semula. Bukan satu desakan.
“Bilaa Pemuda minta supaya meneliti semula, tidak ada salah kalau kita meneliti semula keputusan akan dilakukan,” katanya. – UTUSAN










