
UMNO dan Parti Kongres India (INC) mempunyai persamaan antara satu sama lain apabila kedua-duanya digambarkan nasib parti dominan terlalu lama sehingga berdepan kemerosotan sokongan rakyat.
Kedua-duanya berkongsi sejarah sebagai parti teras dalam pembentukan negara, namun kini bergelut untuk menyesuaikan diri dengan realiti politik baharu.
Namun paling ketara di sini adalah persamaan ketara iaitu kegagalan melakukan transformasi struktur ketika berdepan perubahan demografi politik.
INC gagal menyesuaikan diri dengan kebangkitan politik identiti baharu lalu memberi ruang kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) membawa naratif nasionalisme.
UMNO pula dilihat ketinggalan dalam mendepani politik generasi muda dan tuntutan integriti, khususnya pasca skandal besar yang menjejaskan kredibiliti di mata rakyat.
Dari segi kepimpinan, kedua-dua parti juga terperangkap dalam krisis kepercayaan. INC sering dikritik apabila bergantung kepada dinasti Nehru-Gandhi, sementara UMNO bergelut dengan hala tuju pasca kekalahan pilihan raya 2018.
Ketidakmampuan melahirkan kepimpinan baharu yang benar-benar segar dan diyakini, menjadi faktor penghakisan sokongan UMNO dan INC.
Namun terdapat perbezaan penting antara INC dan UMNO, misalnya INC hampir kehilangan peranan sebagai alternatif utama manakala UMNO masih relevan dalam pentas politik melalui kerjasama Kerajaan Perpaduan dan kekuatan akar umbi.
Namun begitu, UMNO berisiko mengulangi kegagalan INC jika tidak berubah untuk kekal relevan dan kekal dengan legasi lama serta terus tenggelam dalam landskap politik baharu. – UTUSAN










