Perkukuh ekonomi, reformasi institusi fokus kerajaan Madani

Perkukuh ekonomi, reformasi institusi fokus kerajaan Madani

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fokus utama kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini adalah memperkukuh ekonomi negara dan mempertingkat reformasi institusi.

Jurucakap kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia termasuk usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta RUU mengenai Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri yang dijadual dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

“Hasrat kita adalah untuk pastikan Malaysia berada di kedudukan yang terbaik pada tahun ini, insya-Allah.

“Jadi, saya percaya usaha kerajaan Madani ini berada di landasan yang tepat dan semua parti komponen memahami usaha dan ikhtiar, termasuk rakan-rakan daripada DAP,” katanya selepas merasmikan Program Penyatuan Seni dan Budaya di KL Gateway Mall, di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 40 Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong kerajaan pimpinan Anwar sehingga tamat penggal.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, kongres khas DAP pada 12 Julai ini adalah sebahagian daripada proses dalaman parti itu untuk memastikan ketetapan organisasi dipatuhi.

Jelasnya, DAP telah memaklumkan lebih awal tentang penganjuran kongres berkenaan.

“Ini adalah proses dalaman bagi DAP untuk pastikan keputusan yang dicapai dituruti dalam parti mereka. Jadi, itu adalah proses bagi DAP dalam membuat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata, kongres itu akan memberi ruang kepada perwakilan menentukan sama ada pemegang jawatan parti perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN