PETALING JAYA: Pembangkang tidak menolak cadangan pindaan Perlembagaan membabitkan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara serta pengenalan had tempoh jawatan Perdana Menteri, namun beberapa penambahbaikan perlu diperhalusi sebelum diluluskan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kedua-dua Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan perlu diperkemaskan bagi memastikan reformasi institusi yang dicadangkan benar-benar berkesan dan bukan sekadar perubahan di atas kertas.
Katanya, pembetulan struktur melibatkan institusi penting negara mesti berasaskan prinsip kebebasan sebenar, ketelusan serta mekanisme semak dan imbang yang jelas.
“Sehubungan itu, kerajaan hendaklah memperkenalkan mekanisme yang bebas dan berwibawa dalam urusan pelantikan dan pemberhentian Pendakwa Raya, sama ada melalui penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan atau melalui suatu kaedah lain yang setara dari segi kebebasan, ketelusan dan keabsahannya.
“Jawatankuasa tersebut hendaklah mempunyai kedudukan dan autoriti setaraf dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), termasuk bidang kuasa untuk memanggil dan menghadapkan Pendakwa Raya atau Peguam Negara dalam prosiding tertentu yang menyentuh isu dasar pendakwaan serta pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa menjejaskan prosiding kes perundangan yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pindaan itu juga perlu membolehkan semakan kehakiman terhadap keputusan Pendakwa Raya dan fungsi Peguam Negara bagi memastikan prinsip semak dan imbang diperkukuh.
Berkenaan had tempoh jawatan Perdana Menteri, Hamzah berkata, sebarang pindaan mesti dilaksanakan tanpa menjejaskan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya membabitkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri.
Katanya, bagi memastikan pemusatan kuasa dapat diimbangi sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut, Perdana Menteri juga tidak wajar memegang jawatan Menteri Kewangan pada masa yang sama.
“Kerajaan hendaklah memastikan hak-hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak terjejas secara langsung atau tidak langsung.
“RUU yang membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri hanya dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang tertentu hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu.
“Bagi memastikan pemusatan kuasa Perdana Menteri dapat diimbangi sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut, pembangkang kekal berpendirian bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan Menteri Kewangan dalam satu masa yang sama.
“Secara dasarnya, Pembangkang berpendirian bahawa langkah-langkah pembetulan institusi bagi memperkukuh amalan semak dan imbang tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan atau bersifat kosmetik,” katanya. – UTUSAN










