MULAI 1 Julai 2025, pemakaian tali pinggang keledar diwajibkan dalam semua bas.Namun persoalannya, adakah cukup sekadar mengetatkan tali pinggang, jika seluruh sistem masih longgar?
Keselamatan bukan sekadar soal pemakaian tali pinggang keledar. Ia seperti satu sistem yang saling berkait. Jika satu komponen gagal, seluruh keselamatan boleh terjejas.
Keselamatan pengangkutan awam adalah isu yang melibatkan keseluruhan sistem. Ia bergantung kepada tiga komponen utama iaitu manusia, kenderaan dan persekitaran.
Kajian menunjukkan bahawa pematuhan bergantung kepada faktor seperti keselesaan, kebersihan dan kemudahan penggunaan. Tali yang terlalu pendek, rosak atau sukar dikunci akan menyebabkan pengguna enggan memakainya walaupun diwajibkan.
Di Malaysia, masih terdapat bas ekspres dan persiaran yang tidak dilengkapi sistem tali pinggang keledar berfungsi sepenuhnya. Tempat duduk longgar, konfigurasi tidak seragam dan penyelenggaraan yang lemah menjadikan pematuhan sukar. Dalam banyak kes, tali pinggang keledar sekadar hiasan, ada tetapi tidak boleh digunakan.
Kajian juga menunjukkan peringatan daripada pemandu mampu meningkatkan kadar pemakaian. Sikap pemandu ialah barisan hadapan keselamatan. Mereka bukan sekadar pengendali stereng, tetapi penjaga nyawa.
Kita boleh belajar daripada jiran terdekat seperti Singapura yang sejak sekian lama telah melaksanakan peraturan ketat bagi bas pelancongan dan ekspres termasuk pemantauan aktif oleh pihak berkuasa. Ini menunjukkan bahawa kejayaan dasar bergantung kepada pelaksanaan, bukan sekadar pengumuman.
Dari Januari 2023 hingga Mei 2025, sebanyak 203 kemalangan bas direkodkan melibatkan 39 kematian dan lebih 250 kecederaan. Setiap angka itu membawa cerita dan setiap cerita bermula dengan harapan yang tidak seharusnya berakhir di tepi lebuh raya.
Masyarakat juga menuntut agar perhatian diberikan kepada isu-isu yang lebih mendesak seperti had kelajuan terkawal secara elektronik, pemantauan sistem pengesanan global (GPS), kamera kabin, saringan kesihatan pemandu, disiplin kerja serta pembaikan jalan dan penghadang keselamatan. Ini bukan tuntutan luar biasa tetapi hak asas pengguna jalan raya.
Tali pinggang keledar ialah langkah permulaan yang wajar disambut. Tetapi kita tidak boleh berpuas hati dengan satu simpulan jika seluruh ikatan sistem masih longgar. Kita perlukan lebih daripada itu. Pemandu yang terlatih, penguatkuasaan berterusan, pengendali yang bertanggungjawab dan penumpang yang sedar hak serta peranan mereka.
Keselamatan tidak dibina dengan slogan atau dasar semata-mata. Ia dibina atas kesungguhan semua pihak daripada pemandu hingga ke pembuat dasar. Jika benar kita meletakkan nyawa sebagai keutamaan, maka tidak cukup sekadar mengemaskan tali pinggang keledar. Kita mesti mengukuhkan keseluruhan sistem. – UTUSAN
DR. NORDIANA MASHROS
Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










